IDENTITI 10 mangsa termasuk lapan kanak-kanak yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, malam tadi sudah dikenal pasti.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, identiti mangsa berkenaan termasuk seorang ibu dan lapan anak.
Katanya, mangsa dikenal pasti sebagai Norul Naziah Buyong, 37, anaknya, Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3, dan Muhammad Raid Fathi berusia 10 bulan.
“Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia ialah Mohamad Rahimi Rolex, 27,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, empat mangsa yang cedera pula ialah Abd. Razak Majit, 50, Ihyat Sufi Shokip, 20, Mimie Nafiesa Abdullah, 19, dan Ummi Nasuha Annuwar, 20.
“Sementara pemandu lori berusia 45 tahun dan dua anak lelakinya, masing-masing berusia 19 dan 14 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Terdahulu, Norazam dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.
Beliau berkata, sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 11.42 malam untuk operasi menyelamat.
“Nahas membabitkan 17 mangsa, yang mana 10 daripadanya disahkan meninggal dunia,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.