Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PN, PH bersama ibarat 'campur air laut, air tawar, kemudian bela ikan' -
Faizal Azumu

PN, PH bersama ibarat ‘campur air laut, air tawar, kemudian bela ikan’

CADANGAN supaya Perikatan Nasional (PN) bersama Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sukar untuk direalisasikan, tegas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sambil mengakui usaha penyatuan satu tindakan baik, namun cadangan daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron itu mustahil untuk berjaya.

“Cadangan untuk menyatupadukan sesiapa adalah cadangan yang baik.

“Tapi kalau nak campur air laut dengan air tawar kemudian bela ikan, itu bukan cadangan yang baik menurut saya,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Sehubungan itu beliau dengan sinis menasihatkan, Idris yang menyertai PKR namun tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini supaya menggunakan masa terluang yang ada pada masa ini untuk ‘belajar mengaji’.

“Saya nak cadangkan Idris Haron, mungkin sebagai kawan lama. Saya selepas jadi MB Perak, saya lapan bulan cuti, saya belajar mengaji.

“Saya belajar betulkan bacaan dalam sembahyang dan sebagainya, jadi Idris Haron sekarang banyak masa elok buat macam tu,” katanya.

Idris sebelum ini mencadangkan agar PH dan PN bersama menentang BN pada PRU akan datang.

Idris salah seorang daripada empat ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka sehingga PRN negeri terpaksa diadakan berkata, PH memerlukan ‘faktor wow” untuk memenangi PRU dan hal itu tidak akan dapat dicapai sekiranya gabungan itu bergerak secara sendirian.

Sementara itu, Ahmad Faizal juga ditanya mengenai khabar angin bahawa Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin akan meninggalkan parti itu untuk menyertai sebuah parti lain.

Meskipun tidak menafikannya, Ahmad Faizal berkata khabar angin tidak semestinya betul.

“Ada juga rumours yang kata saya kahwin dua. Tapi rumours tak semestinya betul.

“Yang keduanya, ada juga masa saya tak berapa gembira dengan isteri saya, tak semestinya saya nak kahwin dua.

“Sebagai sebuah parti yang besar, tentu ada di kalangan ahli yang rasa tak puas hati, tapi tak sampai tahap nak pecah-belahkan parti,” katanya.