POLIS Negeri Sembilan sedia membantu Kontinjen Johor dalam mengesan lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang lolos daripada tahanan ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, Johor Rabu lepas.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, meskipun tiada pasukan khas ditubuhkan setakat ini, pihaknya sentiasa bersiap siaga selain semua anggota di lapangan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.
“Sebarang kemungkinan boleh berlaku (Long Tiger memasuki sempadan Negeri Sembilan) dan kita sedia membantu polis Johor mengesan suspek. Semua elemen dan petugas telah dimaklumkan berhubung kes tersebut,” katanya kepada Bernama di Seremban, hari ini.
Pada 15 Disember lepas, Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid menghadiri prosiding di Mahkamah Majistret Tangkak bagi perbicaraan kes berkait Seksyen 388 Kanun Keseksaan, sebelum terlepas daripada tahanan kira-kira 11.55 pagi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat dilaporkan berkata, tertuduh yang masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada tahanan. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.