37 kematian Covid-19 direkod pada Khamis

MALAYSIA mencatatkan sejumlah 37 kes kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 pada Khamis.

Angka yang dicatatkan itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding sehari sebelumnya sebanyak 33 kes kematian.

Berdasarkan laman sesawang CovidNOW kendalian Kementerian Kesihatan (KKM), empat kes kematian di luar kemudahan kesihatan (BID) turut direkodkan setakat tengah malam Khamis.

Pulau Pinang mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan enam kes, diikuti masing-masing empat kes di Johor, Kedah, Perak dan Terengganu.

Tiga kes kematian pula direkodkan di Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor, manakala Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing dua kes.

Kelantan dan Melaka hanya mencatatkan satu kematian, sementara Perlis, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan serta Putrajaya sifar kes kematian.

Setakat tengah malam Khamis, kadar penggunaan katil hospital di beberapa negeri berada pada paras kategori merah, iaitu lebih 70 peratus daripada kapasiti.

Menurut laman sesawang CovidNOW, kadar penggunaan katil hospital di Kelantan adalah yang tertinggi berbanding negeri lain iaitu 83.2 peratus, disusuli Melaka (80.7 peratus), Terengganu (79.6 peratus), Kedah (78.7 peratus), Perak (75 peratus) dan Johor (71.6 peratus).

Tujuh negeri, iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak, Selangor, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang mencatatkan kadar penggunaan katil hospital di paras antara 60 hingga 69 peratus, manakala Kuala Lumpur serta Putrajaya bawah 59 peratus.

Wilayah Perkutuan Labuan merekodkan kadar penggunaan katil hospital pada kadar terendah, iaitu 42.6 peratus. – SB