TENGKU Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan Tun Dr.Mahathir Mohamad bukan sahaja tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja tetapi juga tidak jujur sepenuhnya kepada rakyat Malaysia dalam isu Statut Rom dan ICERD.
Melalui catatan dalam Facebook, Tunku Ismail berkata, perkara yang dibuat secara tergesa-gesa pada ketika itu akan mengugat kesejahteraan rakyat dan menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu.
‘’ Saya dididik dari kecil lagi untuk sentiasa menghormati semua agama dan juga rakyat berbilang kaum. Saya dan keluarga saya juga telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, serta akan terus membantu kebajikan semua kaum.
‘’Tetapi saya juga adalah seorang bangsa Melayu dan tidak lupa akan tugas saya untuk mempertahankan Agama Islam. Itulah sebab saya menentang Statut Rom dan ICERD,’’ kata Tunku Ismail.
Tengku Mahkota Johor itu membuat kenyataan tersebut bagi mengulas tulisan Dr.Mahathir dalam buku terbarunya “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia” yang menyatakan Tunku Ismail sepatutnya menfailkan saman terhadap Patrick Teoh, sekiranya baginda percaya penyampai radio popular itu menghinanya.
Mengenang kembali peristiwa 2020 itu, bekas Perdana Menteri itu berpandangan ia tidak sepatutnya menjadi kes jenayah.
Dalam buku itu, Mahathir menulis rakyat tidak boleh mengutuk Raja-Raja Melayu, namun undang-undang sama tidak mengangkat seorang Putera Mahkota ke kedudukan setinggi itu.
Tunku Ismail menegaskan, dengan menyerang institusi diraja, Dr. Mahathir tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah negara yang telah dicipta sendiri oleh Ahli Parlimen Langkawi itu termasuk isu perpecahan dan asimilasi kaum.
‘’Satu lagi pengkhianatan kepada rakyat Malaysia adalah apabila janji-janji yang dibuat kepada rakyat tidak ditunaikan.
‘’Apa-apapun saya berdoa semoga Tun panjang umur, sentiasa menghormati semua kaum di Malaysia dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Negara. ‘I will see you soon, Tun’,’’ kata Tunku Ismail.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.