Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Penjawat awam didenda RM8,000 kerana berniaga -

Penjawat awam didenda RM8,000 kerana berniaga

SEORANG penjawat awam mengalami kerugian berganda apabila dia didapati bersalah melibatkan diri dalam perniagaan tanpa kebenaran.

Kesalahan yang dilakukan Suzana Murni Mansor, 53, iaitu terlibat dalam perniagaan membekalkan sarung kaki bernilai RM44,500 tanpa kebenaran telah mengakibatkan dia didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Suzana dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi lapor Sinar Harian.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan, jika gagal membayar denda.

Ketika memutuskan perkara itu, hakim Azura turut menasihati tertuduh agar insaf dan dapat memulakan kehidupan yang lebih baik selepas ini.

“Anda patut bersyukur kerana diberi pertuduhan pilihan, tetapi sekarang anda kena tangguh perbuatan itu, sekali gus menjejaskan pekerjaan anda, sedangkan anda dah lama berkhidmat, rekod kerja juga cemerlang.

“Jadi, saya berharap anda mengambil peluang ini, mulakan kehidupan yang lebih bermakna untuk diri dan keluarga,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu pembantu tadbir di Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu, sebuah hospital universiti awam, terikat di sisi undang-undang sebagai penjawat awam supaya tidak mengambil bahagian dalam perniagaan.

Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(1), Jadual Kedua, Bahagian II Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000, telah mengambil bahagian dalam perniagaan iaitu sebagai pemilik Syarikat Fana Global Resources.

Syarikat itu didapati mendapat kerja membekal dan menghantar sarung kaki kepada kakitangan hospital kerajaan yang bernilai RM44,500.

Kesalahan dilakukan di Jabatan Pengurusan Fasiliti Bersepadu, di sebuah hospital di sini pada Disember 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam kes ini, pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noryusriza Zulkifli dan pegawai pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dia dikenakan hukuman ringan.

“Sepanjang 25 tahun berkhidmat, saya merupakan seorang pekerja cemerlang malah saya beri komitmen yang tinggi dalam menyelesaikan hutang perumahan.

“Saya menyesal dan tak akan mengulangi perbuatan itu, jadi saya mohon dikenakan hukuman ringan kerana dua anak saya masih menuntut di institusi pengajian awam,” katanya.

Bagaimanapun, Noryusriza mencadangkan tertuduh dijatuhi hukuman setimpal demi kepentingan awam dan berbentuk pengajaran.

Walaupun tertuduh mengaku atas pertuduhan pilihan, namun beliau berkata, asas dalam pertuduhan asal adalah serius.

“Memandangkan dia merupakan pesalah pertama dan mengaku salah selepas pertuduhan dibaca, maka pihak kami berpendapat hukuman denda adalah memadai,” katanya. – SB