Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kerajaan disaran benarkan tanam ketum secara besar-besaran, terkawal -

Kerajaan disaran benarkan tanam ketum secara besar-besaran, terkawal

SATU laporan kajian mengenai kebaikan dan manfaat kanabis, hemp serta ketum akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan terhadap penanaman tumbuhan tersebut.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kajian itu dijalankan pelbagai pihak termasuk Pusat Racun Negara selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan. 

Menurut Zahidi, kelulusan daripada KKM dan KDN penting untuk membolehkan tanaman berkenaan diusahakan secara besar-besaran serta terkawal kerana ia bukan sahaja bermanfaat kepada industri perubatan, tetapi mampu menjadi sumber pendapatan. 

“Akibat penularan COVID-19, kira-kira 800,000 orang hilang pekerjaan. Jadi kita lihat peluang untuk ketum dan hemp cukup baik dengan nilai pasaran seluruh dunia USD50 bilion dan USD250 bilion. 

“Malaysia ada peluang baik, kalau boleh kita minta kerajaan tumpu masalah untuk rakyat benarkan penanaman yang akan membolehkan pekebun kecil terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum awam Kemampanan Masa Depan Kanabis Perubatan, Industri Hemp dan Ketum di Malaysia, hari ini. 

Zahidi turut menerima memorandum sokongan kepada kerajaan Malaysia untuk Kemampanan Masa Depan Kanabis Perubatan, Industri Hemp dan Ketum di Malaysia daripada Gabungan NGO Gerakan Merah. 

Menurut beliau, sekiranya KKM serta KDN tidak memberikan kelulusan, pihaknya akan menyerahkan laporan kajian kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk perhatian lanjut. 

“Tidak ada sebab kerajaan tidak luluskan, tapi jika tidak diluluskan, kita mungkin akan bawa Rang Undang-undang persendirian ke Parlimen, dalam Mac depan,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Zahidi berkata Kementerian Kewangan (MOF) akan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berhubung pelaksanaan teknologi Generasi Kelima (5G) di negara ini, hari ini. 

Semalam, Zahidi meminta MOF dan Digital Nasional Berhad (DNB) memberi penjelasan mengenai isu tersebut kerana mendakwa menerima banyak rungutan. – Bernama