Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kehadiran Abang Johari di Gedong bukti komitmen bawa perubahan di luar bandar -

Kehadiran Abang Johari di Gedong bukti komitmen bawa perubahan di luar bandar

KEHADIRAN Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 ini jelas memperlihatkan komitmen beliau untuk membawa perubahan kepada penduduk di kawasan luar bandar. 

Gedong, kira-kira 90 kilometer dari Kuching, kini diiktiraf sebuah daerah penuh yang bakal menikmati penambahbaikan infrastruktur dan pembangunan yang lebih tersusun.
Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Ammar Redza Ahmad Rizal berpandangan Abang Johari mampu membawa perubahan menyeluruh di Gedong berdasarkan kepada prestasi cemerlang beliau dalam membangunkan Sarawak sejak dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak. 

“Kehadiran Abang Johari akan menjanjikan lebih banyak peluang pembangunan untuk masyarakat setempat termasuk penambahbaikan infrastruktur yang akan lebih tersusun di samping peluang-peluang meningkatkan kegiatan ekonomi berasaskan pertanian,” katanya kepada Bernama.

Saingan di kerusi DUN Gedong menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Abang Johari, Mohamad Sofian Fariz Sarbini daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Kamal Bujang daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Tomson Marcus Ango dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Sementara itu, Ketua Kampung Hulu Gedong Busrah Ahmad berkata, pada pengamatan beliau rata-rata penduduk di kawasan ini menyokong penuh Abang Johari sebagai teraju pentadbiran negeri.

Beliau berkata, calon-calon lain pula dilihat tidak mempunyai peluang, malah kempen mereka langsung tidak dapat dikesan ramai di kawasan Gedong ini.

Mengulas tentang masa depan kawasan Gedong yang kini sebuah daerah baharu, Busrah berpendapat pengiktirafan itu akan merancakkan lagi pembangunan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan belia di kawasan itu. 

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 lepas, DUN Gedong dimenangi Datuk Mohd Naroden Majais yang bertanding atas tiket Barisan Nasional dengan majoriti 3,365 undi, menewaskan calon Amanah Rapelson Richard Hamit dan calon Bebas Uja Bansi.

Seramai 7,208 pengundi berdaftar di DUN Gedong bakal mengundi pada PRN Sarawak 18 Disember ini. 

  • Bernama