Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Buli lagi! Pelajar tingkatan 3 sakit dada dibantai senior -

Buli lagi! Pelajar tingkatan 3 sakit dada dibantai senior

BAGAIKAN bara api yang membakar daun kering, kes buli di sekolah di dalam negara ini bagaikan tiada boleh dipadamkan.

Belum lagi reda kisah buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar di Perak, timbul satu lagi kes buli kali ini di sebuah sekolah di Kluang, Johor.

Dalam kejadian di sebuah sekolah menengah pada 9 Disember lalu, seorang pelajar tingkatan 3 yang menjadi mangsa buli telah mengadu sakit dada dipercayai akibat dibantai pelajar senior.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, pihaknya hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima laporan pada pukul 6.18 petang Rabu.

Menurut beliau, susulan kejadian itu mangsa dilaporkan mengalami kesakitan di dada serta trauma dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila seorang pelajar senior tidak berpuas hati dengan sikap mangsa yang menyebabkan dia dibuli,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Abdul Razak menambah, tindakan susulan diambil oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk mengesan suspek terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kami memandang serius kes jenayah seperti buli melibatkan pelajar di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan pihak terlibat,” katanya.

Hari ini, media melaporkan lima pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Muar, direman hingga Sabtu bagi membantu siasatan kes buli terhadap pelajar berusia 14 tahun di sekolah sama.

Mereka didakwa membuli seorang pelajar junior sehingga mengakibatkan pelajar berkenaan cedera di rusuk kiri.

Sebelum itu, 10 pelajar MRSM di Perak yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli yang tular baru-baru ini ditamatkan pengajian serta-merta. – SB