YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli untuk santapan tengah hari di sebuah restoran makanan segera, Kentucky Fried Chicken (KFC) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, hari ini.
Menerusi satu perkongsian di Facebook rasmi Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong sempat singgah di restoran tersebut dalam perjalanan keberangkatan pulang ke Istana Negara dari Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menikmati santapan tengah hari di tingkat atas restoran tersebut bersama pengunjung-pengunjung yang lain.
“Seri Paduka Baginda berkenan singgah di restoran tersebut dalam perjalanan keberangkatan pulang ke Istana Negara dari Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang,” tulis perkongsian tersebut.
Tambahnya, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyantuni dan beramah mesra bersama pengunjung-pengunjung dan pekerja-pekerja restoran tersebut.
Melalui satu lagi perkongsian di Facebook Istana Negara, usai menikmati santapan tengah hari, Seri Paduka Baginda berdua turut menyantuni dan beramah mesra bersama peniaga kecil dan orang ramai di sekitar Jalan Ipoh.
Selain bergambar bersama orang ramai, Seri Paduka Baginda berdua turut duduk di sebuah gerai untuk menikmati teh tarik. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.