SEMEMANGNYA zaman sekarang sudah tidak kelihatan peniaga-peniaga nasi lemak berniaga dengan harga yang begitu rendah seperti dulu-dulu yang kebiasaannya boleh didapati dengan harga serendah 50 sen sahaja.
Perkara itu adalah ekoran keadaan semasa yang dipengaruhi oleh kos barang mentah yang sentiasa meningkat saban tahun.
Namun, ia tidak menjadi satu halangan kepada satu gerai kecil di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur ini yang hanya menjual nasi lemak dan ayam goreng dengan harga seringgit bagi setiap satu hidangan.
Dengan harga yang sangat rendah, ayam goreng yang dijual mereka sudah habis terjual dalam masa setengah jam sahaja dari waktu operasi mereka bermula sekitar jam 7.30 pagi setiap hari.
Peniaga di gerai berkenaan, Haniza Burhan, 36, berkata, perniagaan tersebut dimulakan oleh ibunya, Hanim Jamaludin, 53, yang sememangnya dari dulu berniaga nasi lemak dan ayam goreng pada harga serendah seringgit.
Katanya, ada sahaja cakap-cakap orang yang mempunyai persepsi tidak yakin jika menjual makanan pada harga serendah seringgit, namun bagi Haniza dan ibunya, perkara itu perlu dilihat kembali niat asal untuk menjual.
“Orang selalu rasa barang seringgit ini ada untung ke? Tapi bagi saya dan keluarga, untung mungkin tak banyak, tapi ada. Lagi satu bila kita menjual, kita akan rasa untung banyak kalau niat untuk bersedekah. Sambil kita menjual, sambil kita menolong orang lah,” katanya ketika ditemui SatuBerita.
Haniza mengakui, walaupun harga makanan yang dijual mereka pada harga serendah satu ringgit, keuntungan masih dirasakan banyak, namun, dengan situasi harga barangan mentah yang semakin meningkat, perkara itu sedikit sebanyak menjejaskan mereka.

“Saya boleh meneruskan perniagaan biarpun kami jual seringgit sahaja. Bezanya, sebelum harga naik, untung banyak lebih lagi. Tapi, selepas harga barang naik, ada untung, sikitlah. Tapi masih boleh teruskan lagi perniagaan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Haniza berkata, dirinya bercadang untuk tidak menaikkan harga makanan yang dijual mereka kerana masih memikirkan orang yang kurang berkemampuan biarpun dengan situasi kos bahan mentah semasa.
“Kita nak naik harga pun tak sampai hati juga sebenarnya. Kita jual seringgit ni untuk senangkan orang juga. Kadang-kadang orang beli untuk anak-anak ramai, mereka boleh banyak dan boleh makan ramai-ramai.
“Saya rasa orang masih boleh berfikir, potion makanan pun tak banyak dan tak sikit, sedang-sedang. memang sangat2 membantu orang yang ada anak-anak ramai. Kalau nak beli kat tempat lain, nasi lemak dengan ayam goreng mungkin dah cecah 5 ringgit hingga 6 ringgit,” katanya.
Haniza berkata, gerai milik mereka yang terletak berhadapan dengan Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur itu turut menjadi perhatian orang ramai yang datang membeli dengan kuantiti yang banyak untuk disedekahkan atau dibeli untuk membelanja rakan-rakan di pejabat.

“Kadang-kadang cikgu sekolah depan ni pun beli banyak-banyak untuk kawan-kawan dan pelajar mereka,” katanya.
Menurutnya lagi, perniagaannya bukan sahaja terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, malah mengalami kesukaran untuk memulihkan perniagaan selepas PKP dilonggarkan.
“Susah juga, orang dah mula keluar untuk makan di kedai, kedai makan dah penuh, gerai tepi jalan macam kita ni, orang akan tengok mungkin waktu tengah bulan lah. Tapi pelanggan tetap masih ada. Dari situlah boleh teruskan.
“Tetapi, kalau waktu PKP yang masih belum dibenarkan untuk merentas negeri, ketika itu seronok berniaga, sebab orang nak keluar cepat sebab waktu berniaga dipendekkan sehingga pukul 8 petang sahaja. Makanan pun cepat habis. Lepas dah boleh rentas tu, suram sikit lah, ada tu ada, cuma tak rancak,” katanya.
Manakala ketika PKP, Haniza mula berniaga secara kecil-kecilan di atas talian menerusi platform Facebook dengan mengambil pesanan sambal nasi lemak, sengkuang calit serta tauhu begedil.—SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.