Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lebih 5,000 PATI cuba masuk Malaysia ditahan -

Lebih 5,000 PATI cuba masuk Malaysia ditahan

PASUKAN Gerakan Am (PGA) merekodkan sebanyak 5,862 tangkapan individu membabitkan kes kemasukan pendatang tanpa izin dengan nilai rampasan sekitar RM366 juta sejak tahun lepas.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, jumlah itu diperoleh melalui operasi diadakan di sekitar perairan negeri Selangor yang menjadi tumpuan pendaratan pendatang tanpa izin.

Beliau berkata, operasi terbabit turut membawa kepada tangkapan tekong darat serta laut selain penemuan rumah-rumah apungan yang menjadi tempat persembunyian pendatang tanpa izin itu.

“Kejayaan tersebut melibatkan kesemua 5 Briged PGA seluruh negara dan turut mendapat kerjasama pelbagai agensi di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang turut serta dalam menghasilkan tangkapan yang berkualiti,” katanya menerusi program Koresponden Bernama.

Muhammad berkata, PGA akan turut melaksanakan satu operasi khas dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin di sekitar perairan negeri Selangor dalam masa terdekat.

Beliau berkata, terdapat banyak titik pendaratan tanpa izin serta lorong tikus di Kuala Lumpur bermula dari sempadan Sungai Lang di utara Selangor yang bersempadanan dengan Perak sehingga Sepang yang bersempadanan dengan Negeri Sembilan.

“Berikutan ia menjadi lokasi tumpuan mereka untuk memasuki negara, pihak kami akan menggandakan operasi itu,” katanya. – Bernama