[VIDEO] SLOW BAR barista jalanan untuk pencinta kopi

BILA kita menyebut perkataan barista, pasti rata-rata antara kita membayangkan seseorang yang bekerja sebagai pembuat kopi yang segak di dalam mana-mana kafe yang mempunyai rekaan dalaman yang tampak elegan dan selesa.

Namun, ia berbeza bagi seorang bekas barista yang berniaga di gerai kopi kecil di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur yang sanggup berhujan dan berpanas untuk menjalankan perniagaan kopinya.

Mohd Fauzi Abit, 35, berkata, dirinya sebelum ini bekerja sebagai seorang barista di sebuah Hotel di Kuala Lumpur dan mempunyai 11 tahun pengalaman dalam bidang berkenaan sebelum diberhentikan kerja akibat pandemik sekitar Febuari lalu.

“Selepas saya berhenti kerja, saya buat produk ‘home brew’ iaitu kopi botol dengan jenama sendiri dan resepi saya sendiri. Saya cuba jual secara atas talian sahaja. Pada permulaan sangat sukar, kalau ada tempahan, ada lah kalau tiada, tiada.

“Jadi saya ambil keputusan untuk jual secara fizikal. Dengan bermodalkan payung, sebuah meja, kerusi dan satu tong, saya mula buka gerai di Tasik Permaisuri ni untuk jual kopi botol,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Mohd Fauzi Abit, 31, ketika ditemuramah oleh SatuBerita.

Namun katanya, sambutan kepada kopi botol yang dijualnya pada ketika itu, kurang memberansangkan dan mengambil keputusan untuk sekali lagi mengubah strategi perniagaannya dan membawa kepada satu konsep baharu iaitu ‘slow bar’ jalanan.

‘Slow bar’ adalah satu konsep di mana pelanggan boleh melihat proses membuat kopi yang dipesan dengan mata mereka sendiri dan barista akan mengambil masa mereka untuk membuat kopi sambil berbual santai bersama pelanggan berkenaan dengan ilmu kopi mereka.

Pelanggan juga boleh mengajukan soalan kepada barista anda tentang ilmu pembuatan kopi atau kopi secara umum.

“Saya mula tukar strategi untuk ‘brew’ depan orang ramai dan konsep ini dipanggil sebagai ‘slow bar’. Manual sepenuhnya, ia satu teknik yang klasik. Sambil buat kopi, saya boleh kongsikan ilmu saya kepada pelanggan-pelanggan saya mengenai kopi.

“Alhamdulillah, sekarang hasil tangan saya sudah ada peminat, dan ada pelanggan tetap dan sudah ramai yang mengenali apa itu kopi jalanan. Konsep ini ala-ala kafe, tetapi jalanan. Orang kata, ilmu jalanan itu adalah yang terbaik,” ujarnya.

Menurut Fauzi, idea untuk membuka gerai ‘slow bar’ jalanan ini diinspirasikan dari rakan-rakannya di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang sudah lama mewujudkan konsep berkenaan.

“Ketika pandemik, ramai pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja seperti saya , Jadi mereka mula keluar untuk cari kerja. Jadi, mereka ada satu pilihan sahaja, iaitu kita berniaga dengan pengalaman yang kita ada.

“Kami barista ada komuniti kita dan ada kumpulan WhatsApp barista dari tiga negara iaitu Malaysia Indonesia dan Thailand. Berkat cadangan yang saya dapat dari seorang rakan di Thailand untuk buat konsep ini, saya dapat buka gerai ‘slow bar’ jalanan ini,” katanya lagi.

Perkakas-perkakas yang digunakan Fauzi untuk menyediakan kopi kepada pelanggannya secara manual.

Tambahnya, dirinya mencuba sedaya upaya untuk mementingkan kualiti kopinya pada tahap premium biarpun ia hanya berkonsep jalanan.

“Orang sekarang ramai yang tidak tahan dengan harga kopi di kafe. Jadi kita buat satu konsep yang mudah, dan semua orang boleh minum kopi. Tapi kualitinya premium. Kita minum kopi premium di kafe, pun saya boleh buat di sini,” ujarnya.

Katanya antara cabaran sebagai barista jalanan adalah perlu berpanas dan hujan, serta perlu menerangkan kepada pelanggan bahawa konsep yang dibawa ini prosesnya agak lambat.

“Bila ramai, kita kena bagitahu mereka yang konsep ini agak lambat, kerana kita perlu ikut langkah demi langkah, semuanya dibuat dengan manual, jika dilihat tiada perkakas elektrik yang saya gunakan,” tambahnya.

Gerai Fauzi ini menyediakan pelbagai jenis kopi termasuk Americano, Latte, Cappucino, Mocha, Coffee & Orange, Black Cofee Lemonade yang dijamin diperbuat daripada biji kopi berkualiti tinggi dengan harga serendah RM5 hingga RM7.–SB