SEJUMLAH RM 132,000 aset milik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat telah berjaya dilelong dalam lelongan awam yang berlangsung di kediaman usahawan kontroversi itu pada pagi selasa.
Menurut wakil OWA Resources, Zeti Zulkifli, seramai lapan orang pembida telah menyertai bidaan yang telah dimulakan pada harga RM 77,650.00.
Zeti berkata, bidaan aset Sajat ini merangkumi keseluruhan senarai barang yang dilelong dan pembeli tidak boleh membida barangan tersebut secara berasingan.
Antara barang yang mempunyai nilai paling tinggi ialah piano milik Sajat yang bernilai lebih kurang RM40,000 manakala pembakar roti miliknya merupakan antara barang yang termurah dalam senarai barang lelongan tersebut.
“Lapan pembida sebelum ia berkurang kepada tiga pembida sebelum bidaan dibuat sebanyak enam kali dengan bidaan berakhir bernilai RM132,000.
“Lelongan ini bukan untuk rumah atau kereta tapi ianya hanya untuk barangan rumah sahaja,” katanya ketika ditemubual di kediaman Sajat pada pagi Selasa.
Menurut Zeti, bidaan telah dimenangi oleh seorang pembida yang menawarkan harga bidaan tertinggi iaitu RM 132,000.
Zeti memaklumkan, hampir 40 barangan milik Sajat telah ditawarkan untuk bidaan dalam lelongan berkenaan.
Menurut beliau, antara barangan yang dilelong sekali terdiri daripada barangan dapur, barangan di ruang tamu dan set bilik tidur di tingkat atas banglo dua tingkat berkenaan.
Aset-aset milik Sajat dilelong selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan harta milik usahawan kosmetik itu disita.
Lelongan ini juga berlaku setelah OWA Resources yang merupakan bekas stokis utama perniagaan bengkung milik Sajat cuba mendapatkan semula wang mereka setelah pampasan sebanyak RM200,000 gagal dibayar usahawan itu.
Menurut Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi yang juga pengeluar perintah tersebut, Farah Wahida Md Nor, arahan itu juga dikeluarkan susulan kegagalan Nur Sajat membayar jumlah penghakiman pada Disember lalu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.