[VIDEO] Jangan buat hal di PD jika tidak mahu dipanggil ke balai

KESALAHAN ringan trafik seperti memotong barisan menggunakan laluan kecemasan selalu diambil ringan kerana kesalahan itu jarang diambil tindakan.

Namun tidak di Port Dickson. Bukan hanya saman, anda mungkin perlu datang ke balai.

Hal tersebut berlaku kepada sembilan pemilik kenderaan termasuk sebuah treler yang diarah datang ke balai selepas didapati memotong barisan menggunakan lorong kecemasan.

Video kejadian yang berlaku dari arah Senggala ke Sua Betong dan di lebuh raya Seremban-Port Dickson itu tular sejak Ahad.

Ini bukan kali pertama pengguna jalan raya di Port Dickson yang melakukan kesalahan trafik dipanggil datang ke balai.

Sebelum ini dalam dua kejadian berasingan, beberapa individu berlagak marsyal memberhentikan kenderaan lain dipanggil ke balai dan dikenakan hukuman.

Rakaman papan pemuka yang tular pada 21 November lalu memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang bertindak seperti marsyal dengan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson untuk memberi laluan kepada kumpulan konvoi mereka.


Pada 23 November lalu, lima ‘marsyal’ dikompaun selepas tampil menyerahkan diri di IPD Port Dickson.

Pada 5 Disember lalu, sekali lagi sekumpulan lelaki bertindak marsyal diburu polis Port Dickson kerana melakukan kesalahan sama selepas video mereka tular di media sosial.

Sehubungan itu, polis menahan dua lelaki termasuk salah seorang berpangkat Datuk setelah mereka menyerahkan diri mereka di IPD.

Sementara itu Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya telah mengenal pasti butiran pemilik dan jenis kenderaan yang melakukan kesalahan memotong barisan menggunakan laluan kecemasan.

Beliau berkata, pihaknya meminta pemandu yang berkenaan untuk tampil ke IPD Port Dickson bagi membantu siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan /Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar pengguna jalan raya tidak mementingkan diri dan mengamalkan sikap bersabar serta mematuhi peraturan lalu lintas dalam apa jua keadaan bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Pihak polis juga tidak berkompromi pada mana-mana pemandu atau penunggang yang mengambil ‘jalan pintas’ dan berlagak sebagai ‘raja’ di lebuh raya bagi menjamin keselamatan pengguna yang lain” tegasnya.–SB