Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRN Sarawak: Sekiranya saya menang, dot dot dot… -

PRN Sarawak: Sekiranya saya menang, dot dot dot…

“PADA pilihan raya ini…sekiranya saya menang, semua akan mendapat sebuah rumah setiap seorang!,” Ini contoh.

Hakikatnya, setiap kali pilihan raya, calon dan parti bertanding bebas menabur sebarang janji sehinggalah ia ditagih kembali. Hakikatnya juga pengundi perlu bijak mentafsir dan menganalisis setiap janji ditawarkan calon yang bertanding.

Ini situasi yang berlaku setiap kali pilihan raya dan bagi penganalisis politik Prof Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman, setiap manifesto ditawarkan sepatutnya realistik, bersandarkan kehendak semasa dan mampu ditunaikan.

Namun, Penolong Naib Canselor Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata wujud juga manifesto yang terlalu terdorong ke arah strategi untuk ‘menang cepat’ yang bermain dengan elemen emosi dan kurang realistik. 

“Berpada-pada lah dalam menabur janji dan ikrar. Jangan sampai yang dijanjikan tidak tertunai yang diharapkan hancur berkecai  hingga yang dikutip nanti hanyalah keruntuhan kedamaian dan keharmornian yang telah dibina sejak sekian lamanya,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) ini, terdapat seramai 349 calon daripada 10 parti dan 30 calon Bebas bagi merebut 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun calon Bebas, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiran, Datuk Ali Biju mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 ini.

Setakat ini, hanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang telah melancarkan manifesto mereka secara rasmi.

Bercakap mengenai realistik, bagi Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Dr Nur Aida Kipli, perhatian utama di Sarawak, negeri terbesar di Malaysia ini adalah hak sama rata penduduknya.

“Melihat kepada suasana dan landskap demografi penduduk di Sarawak, adalah menjadi harapan agar pihak kerajaan negeri sentiasa menghulurkan bantuan kewangan secara berterusan dan penyampaian  perkhidmatan yang tidak menganaktirikan penduduk di luar bandar,” katanya.

Mengulas manifesto GPS, beliau melihat 34 inisiatif yang digariskan itu sejajar dengan tema perjuangan parti, ‘Sarawak First’ dan bertepatan misi perjuangan gabungan itu untuk membantu meningkatkan kualiti taraf hidup rakyat Sarawak khasnya di luar bandar.

“Jika diteliti, ada antara manifesto ini telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan akan dilaksanakan,” katanya.

‘Mata’ pengundi bagaimanapun tidak hanya tertumpu kepada manifesto.

Rekod pencapaian juga satu perkara lagi yang lebih realistik, lebih mudah dinilai pengundi, kata Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UNIMAS Dr Ammar Redza Ahmad Rizal.

“Bagi saya pengundi khususnya akan lebih bermotivasi dengan hasil pencapaian boleh nampak sama ada wakil rakyat bekerja atau mengotakan apa yang dijanjikan, katanya.

Bagi calon yang tidak berpeluang berbuat demikian, beliau berkata ia tidak bermakna mereka tak boleh mencari pengaruh dan meraih undi.

“Manifesto nak tak nak kena ada, janji untuk menjawab persoalan dan isu rakyat. Tetapi tidak bolehlah menjanjikan bulan dan bintang, manifesto mesti perkara yang boleh dicapai. Mesti boleh tangani keperluan,” katanya.

PRN12 Sarawak ditetapkan pada 18 Dis ini untuk tarikh mengundi dan 14 Dis ini untuk undi awal.- BERNAMA