LEBIH RM3 bilion saman tertunggak belum dilunaskan di Johor membabitkan lebih 10 juta notis saman dikeluarkan sepanjang tempoh lebih 20 tahun ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor DSP Khairul Azhar Ismail berkata nilai tunggakan saman sejak 2000 hingga 30 November lepas itu merangkumi saman Pol 170A iaitu kesalahan pandu laju, halangan lalu lintas dan mengabaikan isyarat lalu lintas.
Selain itu katanya, pengguna jalan raya turut dikenakan saman POL 257 bagi kesalahan tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, mengubah suai kenderaan serta menggunakan telefon semasa memandu.
Beliau berkata saman lain membabitkan kenderaan warga Singapura yang masih belum dijelaskan bagi tempoh sama melibatkan sebanyak 193,583 saman dengan nilai lebih RM58 juta.
Khairul Azhar berkata bagi diskaun kompaun saman trafik sebanyak 80 peratus yang bermula semalam, setakat ini lebih RM1.6 juta telah dijelaskan membabitkan 35,027 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
“Sejak awal Disember hingga semalam, jumlah kutipan kompaun direkodkan lebih RM4 juta. Saya berharap orang awam mengambil peluang diskaun 80 peratus hingga Ahad ini,” katanya kepada pemberita di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Khairul Azhar berkata bagi tempoh tersebut, daerah Johor Bahru Selatan (JBS) mencatatkan kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM730,960, diikuti daerah Batu Pahat (RM539,380) dan daerah Muar (RM469,500).
Beliau berkata sebanyak 14 cawangan trafik di seluruh negeri itu dibuka seawal 8.30 pagi hingga 5 petang yang menawarkan diskaun kompaun saman trafik sebanyak 80 peratus bermula semalam hingga Ahad ini manakala 50 peratus bermula 13 hingga 15 Disember.
Sementara itu, seorang pekerja swasta Zaidi Mokhtar berkata dia berasa sangat lega apabila dapat membayar saman dengan kadar diskaun yang tinggi.
“Saya ada empat saman pandu laju…jadi saya hanya bayar RM120 berbanding jumlah sebenar RM900…nasihat saya sila ambil kesempatan yang ada untuk selesaikan saman,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay meluangkan masa kira-kira 20 minit melihat proses pembayaran saman sempena diskaun 80 peratus di cawangan trafik IPK Johor. – BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.