Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
KKM kompaun penganjur Majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia -

KKM kompaun penganjur Majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada penganjur Majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, susulan gagal memastikan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19.

Selain itu, KKM juga mengambil tindakan menutup serta-merta kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan pada program tersebut.

Penganjur majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu adalah Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya kecewa dengan penganjur yang gagal memastikan SOP dipatuhi.

“Penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan, kementerian dan agensi terlibat telah dicemari dengan kegagalan penganjur dan pengunjung dalam memastikan kepatuhan SOP yang ditetapkan, katanya.

Menurutnya, pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.

“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi adalah RM1,000 berikutan pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada Rabu lalu.

Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak PDRM, katanya.

Tegasnya, KKM akan terus memantau perjalanan program itu dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat.

“Kita mestilah berpegang kepada standard yang sama seperti yang telah dikenakan ke atas rakyat,” katanya.

Lewat petang semalam, orang ramai menyuarakan kebimbangan di media sosial berhubung penularan Covid-19 berikutan beberapa keping gambar memaparkan kesesakan pengunjung pada majlis tersebut.

Majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia berlangsung selama empat hari bermula Khamis. – SB