472,572 pelancong berkunjung ke Langkawi sejak 16 September 2021

Oleh RIZQI ZABIDI

SEHINGGA 5 Disember lalu, seramai 472,572 pelancong dicatatkan mengunjungi Langkawi sejak sektor pelancongan di pulau legenda itu kembali dibuka di bawah gelembung pelancongan pada 16 September lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, trend kemasukan ke Langkawi dilihat sentiasa menunjukkan peningkatan pada setiap bulan apabila sektor pelancongan di pulau tersebut, kembali dibuka bulan lalu.

“Sejak sektor pelancongan kembali dibuka pada 16 September lalu, pendapatan sektor pelancongan yang telah dijana di Langkawi berjumlah RM487 juta.

“Itu menunjukkan bahawa Langkawi mempunyai potensi besar untuk kembali menyinar selepas sekian lama sunyi dari kemeriahan pelancong akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu pada malam tadi, LADA bersama pemain-pemain industri pelancongan Langkawi telah menerima enam anugerah pada Majlis Anugerah Emas, Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) 2021 yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Enam anugerah yang itu adalah Anugerah Khas Inisiatif Gelembung Pelancongan yang diberikan kepada LADA, Kereta Kabel Terbaik di Malaysia (Langkawi Skycab), Restoran Hidangan dan Warisan Melayu Terbaik (Langsura Geopark Sdn. Bhd.), Destinasi Mesra Eco Terbaik (Langsura Geopark Sdn. Bhd.), Hotel Tiga Bintang Terbaik Untuk Pemandangan Laut (Nadias Hotel Langkawi) dan Hotel Pematuhan Islamik Terbaik (Hotel Adya Langkawi).

Mengulas mengenai anugerah diterima, Nasaruddin berkata pengiktirafan itu membuktikan betapa Langkawi mampu menawarkan pengalaman pelancongan unik dan mempesona buat para pengunjung.

“Usaha bagi mengembalikan kegemilangan industri pelancongan di Langkawi akan terus dilaksanakan demi kelangsungan ekonomi Langkawi.

“Bersandarkan trend semasa, LADA menjangkakan kedatangan pelancong ke Langkawi akan meningkat lebih baik pada 2022,” katanya. – SB