PIHAK kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) perlu mempertimbangkan penangguhan bayaran balik pembiayaan perumahan sehingga rumah peminjam siap dibina oleh pemaju atau selepas menerima kunci rumah masing-masing.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, syarat pembiayaan LPPSA ketika ini menetapkan peminjam perlu membuat bayaran semula selepas 24 bulan daripada tarikh pinjaman diluluskan.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lepas telah menyebabkan banyak projek perumahan tergendala dan tidak dapat disiapkan mengikut tarikh ditetapkan.
“Perkara ini telah mengakibatkan ada peminjam yang terpaksa membayar balik pembiayaan mereka walaupun kediaman mereka masih belum disiapkan oleh pemaju ekoran projek yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh 24 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, ekoran itu, penjawat awam yang membuat pembiayaan dengan LPPSA terpaksa menanggung beban berganda kerana turut membayar sewa rumah yang sedang didiami selain bayaran bulanan penuh kepada LPPSA biarpun rumah belum disiapkan.
“Cuepacs berharap LPPSA dapat memahami situasi semasa yang melanda negara kerana banyak kerja-kerja pembinaan tertangguh dan kemajuan pembinaan juga sangat perlahan disebabkan Covid-19.
“Walaupun perkara itu telah terkandung dalam perjanjian, sewajarnya kerajaan dan LPPSA menggunakan budi bicara untuk menyelesaikan permasalahan ini,” ujarnya.
Adnan menambah, dengan pertimbangan ini, ia sedikit sebanyak mampu meringankan beban peminjam yang sudah cukup terbeban kerana tiada moratorium diberikan LPPSA kepada peminjam selain kenaikan kos harga barang keperluan yang mendadak.
Ekoran itu, Cuepacs turut mencadangkan kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian moratorium kepada peminjam melalui LPPSA.
“Alasan bahawa penjawat awam dan pesara masih menerima gaji serta pencen penuh bagi menampung perbelanjaan bulanan tidak wajar digunakan untuk menolak pemberian moratorium pinjaman LPPSA.
“Lihatlah penjawat awam ini dalam konteks isi rumah yang mungkin terkesan dengan pandemik Covid-19 dan bukannya sebagai individu semata-mata,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya perkara ini dilukur dari sudut isi rumah, ia akan dipertimbangkan bagi pemberian moratorium berbanding jika dinilai daripada faktor individu yang disifatkan lebih mudah untuk mendapatkan moratorium pinjaman.
“Justeru itu, masih belum terlewat untuk kerajaan melalui LPPSA memberikan moratorium pinjaman sekurang-kurangnya tiga atau enam bulan”, tambahnya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.