KENAIKAN melampau harga barangan keperluan ketika ini dijangka menyebabkan kenaikan harga jualan makanan dan minuman di restoran-restoran India Muslim yang lebih dikenali restoran mamak.
Memberi bayangan kenaikan itu akan berlaku tahun hadapan, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata keadaan itu tidak dapat dielakkan jika kenaikan harga barangan tidak dapat dikawal oleh kerajaan.
Beliau yang mewakili 9,000 restoran mamak berkata pada ketika ini ahli-ahlinya masih dapat menampung pertambahan kos yang berlaku akibat kenaikan melampau harga barangan mentah.
“Setakat ni kita memang bertahan, tahun ini kita pastikan tiada kenaikan harga dan semua di Presma memang akur (kenaikan harga).
“Tapi kemungkinan besar tahun depan, kalau masih harga barang mentah dari segi kos menaik, ada kemungkinan terpaksa ambil keputusan kenaikan harga makanan tetapi minimal,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Kenaikan itu akan membabitkan makanan dan minuman kegemaran rakyat Malaysia di kedai makan India-Muslim (mamak) seperti teh tarik, Milo, nasi lemak, roti canai, thosai, capati dan mee goreng.
Menurutnya, sejak 3 tahun yang lalu, tiada sebarang kenaikan harga makanan atau minuman, tetapi dalam situasi yang memaksa, beliau terpaksa mengambil kira keputusan untuk menaikkan harga makanan dan minuman.
“Kami sejak 3 tahun lepas memang tiada kenaikan harga. Secara rasminya memang tiada kenaikan harga, tetapi sekarang ini ayam, sayur, ikan harganya memang naik tinggi sangat.
“Dari segi minuman, susu tin pun naik, teh naik, apabila benda-benda ini berlaku, akan ada kenaikan yang minimal,” katanya.
Tambah Jawahar, pihak Presma akan berjumpa dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk berbincang perkara itu serta memohon pandangan mereka.
“Kami juga ada mohon untuk perjumpaan dengan KPDNHEP akan mohon nasihat mereka juga untuk mengatasi isu ini.
“Kita tak putuskan lagi (kenaikan harga), tetapi apa pun kita minta pandangan KPDNHEP, hubungan kami dengan KPDNHEP agak rapat dan kita minta pandangan mereka sebelum berlaku sebarang kenaikan,” ujarnya.
Terdahulu, dilaporkan beberapa syarikat, termasuk Nestlé (Malaysia) Bhd dan Fraser & Neave Holdings Bhd telah menaikkan harga runcit produk tertentu ketika ekonomi kembali rancak ekoran sekatan akibat Covid-19. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.