Inisiatif kerajaan melalui i-Sinar, i-Citra buahkan hasil

INISIATIF kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat yang ratanya kehilangan kerja dan punca pendapatan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 melalui program i-Sinar dan i-Citra ternyata membuahkan hasil dan disambut baik oleh rakyat di negara ini.

Perkara itu terbukti apabila i-Sinar dan i-Citra direkodkan di dalam senarai kata kunci paling banyak dicari oleh pengguna di enjin carian Google Malaysia tahun ini.

Maklumat-maklumat mengenai inisiatif-inisiatif berkenaan tetap menjadi perhatian rakyat di negara ini meskipun usaha kerajaan yang melaksanakan pelbagai pakej bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu dipertikaikan banyak pihak.

Pengurus Komunikasi Produk Pengguna Google Malaysia, Nadia Khan berkata, rakyat Malaysia lebih cenderung untuk mencari maklumat mengenai sokongan kewangan adalah ekoran ramai rakyat yang terkesan akibat pandemik dan inisiatif kerajaan ini menjadi salah satu talian hidup untuk mereka meneruskan kehidupan.

“Salah satu sebab yang boleh difikirkan kenapa bantuan sokongan kewangan menjadi ‘trending’ tahun ini adalah ramai rakyat Malaysia yang bergantung dengan bantuan ini untuk teruskan hidup.

“Ia boleh dilihat menerusi pemanjangan tempoh moratorium sebelum ini, di mana ramai rakyat yang masih mencari maklumat berkenaan perkara itu untuk mengetahui perkembangan terkini seperti ‘bagaimana saya boleh mengeluarkan wang’, ‘sampai bila tempoh bantuan sokongan ini berakhir’, dan sebagainya.

“Ia menunjukkan rakyat Malaysia bukan sahaja memberi perhatian kepada soal kesihatan malah dari segi kewangan,” katanya.

i-Sinar merupakan satu inisiatif kemudahan pengeluaran di bawah Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuka pada Disember tahun lalu, bagi ahli yang layak dengan pengkreditan pertama pad Januari 2021.

Sementara itu, i-Citra telah dibuka kepada ahli KWSP pada 12 Julai 2021 sehingga 30 September 2021 dengan pengeluaran pertama telah dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Ogos 2021.–SB