Covid-19: 28 maut, jumlah keseluruhan cecah 30,746

SERAMAI 28 mangsa lagi menjadi korban Covid-19 seperti yang dilaporkan pada 8 Disember, menjadikan jumlah kematian keseluruhan dalam negara sebanyak 30,746.

Menurut data Github Kementerian Kesihatan (KKM), empat atau 14.3% daripada jumlah kematian semalam adalah kes kematian sebelum tiba di hospital (BID).

Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu enam atau 21.4% diikuti Sabah dengan lima atau 17.9%.

Johor melaporkan tiga kematian manakala Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Pulau Pinang masing-masing melaporkan dua kematian.

Kelantan, Melaka, Terengganu dan Kuala Lumpur masing-masing merekodkan satu kematian.

Sebanyak 5,020 kes baru dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,673,019.

Setakat semalam, terdapat 60,878 kes aktif dan 4,525 pesakit pulih dilaporkan. – SB