TUJUH kedai pelbagai jenis serta lima kenderaan musnah dalam kebakaran di Jalan Aman Putra 1, Jinjang, berdekatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Aman Putra, Kuala Lumpur hari ini.
Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan mengenai kejadian jam 10.38 pagi.
Komander Operasi Mohamad Iqbal Zakaria berkata, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Sentul, Hang Tuah dan Balai Bantuan Bomba Gombak Selatan dengan kekuatan 38 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Kebakaran membabitkan tujuh unit kedai separuh kekal terdiri daripada bengkel kereta, bengkel cat kereta, bengkel motosikal, kedai perabot, stor barang lusuh dan kedai yang dijadikan pejabat terbakar.
“Turut terbakar adalah lima kenderaan yang diletakkan di bengkel berkenaan. Pasukan pemadaman bertindak memadam dan mengawal kebakaran dari merebak.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.04 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.53 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggaran kemusnahan keseluruhan kebakaran itu dianggarkan hampir 80 peratus.
Bagaimanapun, katanya punca kejadian masih dalam siasatan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.