AHLI Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Faiz Na’aman menunaikan nazar dengan membotakkan kepala untuk membayar nazar susulan mahkamah rayuan mengekalkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.
Memetik laporan MalaysiaKini, Muhammad Faiz mengesahkan penampilan terbarunya dengan berkepala botak itu dibuat untuk menunaikan nazar menerusi satu pesanan ringkas di Whatsapp ketika dihubungi.
“Ya. Demi Integriti, rakyat dan negara,” katanya.
Terdahulu, panel tiga hakim dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan terdahulu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati dia bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai Perdana Menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.
Sementara itu seorang Ahli Parlimen DAP menggesa agar khidmat polis pengiring kepada Najib ditamatkan segera.
Perkara itu disuarakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.
“Najib telah memalukan Malaysia, memalukan nama besar Almarhum Tun Abdul Razak, memalukan agama dan bangsa.

“Satu saja, perkhidmatan polis pengiring kepada Najib harus ditamatkan dengan serta merta.
“Jangan terus menerus aibkan polis kita dengan memaksa mereka mengiring penjenayah seolah-olah dia VVIP. Jaga maruah polis,” tegasnya dalam tulisan di Facebook hari ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.