MAHKAMAH Rayuan menolak rayuan Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan dan hukumannya bagi beberapa pertuduhan melibatkan kira-kira RM42 juta dana SRC International, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mendapati bekas perdana menteri itu bersalah bagi tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.
Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil menyampaikan penghakiman secara sebulat suara pada Rabu.
Abdul Karim bersama hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin turut berkata, tindakan bekas Perdana Mentero itu berhubung dana RM42 juta SRC International bukan sesuatu tindakan demi kepentingan negara, sebaliknya memalukan negara.
“Pemohon menyatakan semua tindakan beliau untuk SRC adalah untuk kepentingan nasional. Pemohon menggunakan alasan daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Irwan Serigar.
“Keputusan hakim perbicaraan tepat apabila menyatakan bahawa pendapat mereka tidak boleh menggantikan bukti,” katanya ketika membacakan mukadimah penghakiman dalam prosiding yang berlangsung secara maya melalui aplikasi Zoom pagi ini.
Berhubung penghujahan bekas Presiden UMNO mengenai derma dari Arab Saudi, Abdil Karim berkata, tiada pengesahan didapati dalam surat-surat yang dikemukakan Najib dan alasan derma tidak boleh dipertahankan.
Beliau berkata, jika ia benar-benar derma dari Arab Saudi, maka tidak ada sebab untuk wang itu terlebih dahulu didepositkan ke akaun SRC, yang merupakan entiti milik penuh kementerian kewangan.
“Perayu juga tidak pernah membangkitkan sebarang aduan mengenai wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya,” jelas beliau.
Abdul Karim juga menyatakan mahkamah bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Tinggi bahawa terdapat penyelewengan jelas sebanyak RM42 juta oleh Najib untuk kegunaannya sendiri.
Keputusan hari ini menyebabkan Ahli Parlimen Pekan itu tiada pilihan selain merayu di Mahkamah Persekutuan dalam usaha terakhirnya untuk mengelak daripada hukuman penjara dan denda berjumlah ratusan juta ringgit.
Najib yang disabitkan bersalah pada Julai tahun lalu, pada asalnya – dijatuhi hukuman 72 tahun penjara; yang terdiri dari hukuman 10 tahun penjara bagi setiap enam pertuduhan berkaitan CBT dan pengubahan wang haram dan 12 tahun lagi bagi kesalahan salah guna kuasa.
Beliau turut dikenakan denda RM210 juta atau lima kali ganda jumlah wang yang terlibat.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang menyampaikan keputusan tersebut menggunakan budi bicaranya memerintahkan supaya hukuman tersebut dijalankan secara serentak. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.