DUA lelaki tempatan ditahan selepas disyaki menyeludup 29,930 kotak rokok dan 2,993 karton rokok putih tidak bercukai dianggarkan bernilai RM300,000 di sebuah premis di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.
Suspek berusia akhir 50-an dan 38 tahun ditahan kira-kira jam 5.30 petang dan hasil soal siasat, seorang daripada mereka membawa polis ke sebuah lagi premis di Jalan Klang Lama.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, susulan serbuan jam 8 malam itu, polis menemukan 807 karton rokok jenama M-One warna merah berjumlah 8,070 kotak rokok.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan kesemua suspek ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan, di sini manakala reman suspek dimohon di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah hari ini untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Idzam menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 0083, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan segera.- SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.