APA perasaan anda apabila dipecat beramai-ramai melalui pertemuan di aplikasi Zoom dan bukannya melalui prosedur sumber manusia yang betul?
Pastinya anda akan berasa bengang dan tidak puas hati dengan tindakan melulu dan tidak relevan dari seorang majikan terhadap pekerjanya.
Namun, itulah hakikat yang terpaksa diterima oleh pekerja di Better.com yang dipecat beramai-ramai melalui pertemuan di aplikasi Zoom.
“Jika anda ada dalam pertemuan ini, anda adalah mereka yang tidak bernasib baik kerana anda dipecat,”. kata Vioshal Garg.
Itulah ungkapan Vioshal Garg, Ketua Eksekutif Better.com ketika beliau memecat 900 pekerjanya melalui aplikasi Zoom.
Menurut laporan media Britain, pertemuan secara zoom itu kemudiannya tular dan menyebabkan orang ramai menyifatkan tindakan majikan tersebut tidak berhati perut dan keterlaluan terutamanya ketika pekerja-pekerjanya bakal menyambut Krismas.
Bagaimanapun, Vioshal sempat memberitahu pekerjanya bahawa beliau membuat keputusan tersebut dengan berat hati dan mendakwa beliau terpaksa berbuat demikian.
Namun, cara Vioshal mengendalikan pekerjanya juga pernah dikritik sebelum ini apabila dia menghantar email kepada pekerjanya yang mengutuk dan mempersoalkan cara mereka bekerja.
“Kamu terlalu lambat. Kamu adalah sekumpulan ikan lumba-lumba bodoh, hentikan. Hentikan sekarang. Awak memalukan saya.” katanya menerusi email tersebut.
Sementara itu, Gemma Dale yang merupakan Pensyarah Kajian Undang-undang Pekerjaan dan Perniagaan di Liverpool John Moores University di UK menyifatkan tindakan Vioshal itu bukanlah cara yang betul untuk menerajui sesebuah organisasi.
Gemma berkata, pembuangan pekerja seramai itu mungkin sah di Amerika Syarikat tetapi tidak di United Kingdom.
“Hanya kerana anda boleh melakukannya di Amerika, tidak bermakna anda perlu melakukannya,
“Terdapat saluran yang sesuai untuk menangani pekerja yang tidak memenuhi piawaian atau jumlah kerja yang diperlukan,” katanya.
Menurut Gemma, tindakan Vioshal itu boleh memudaratkan firma tersebut dan pekerjanya serta pekerja pada masa hadapan yang akan menilai dari segi cara layanan majikan terhadap pekerjanya. – AGENSI
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.