[VIDEO] Kemunculan buaya bersaiz 7 kaki resahkan penduduk Taman Dengkil Jaya

KEMUNCULAN seekor buaya sebesar lebih 2 meter dalam sebuah tasik berhampiran kawasan Taman Dengkil Jaya pada Isnin telah mengejutkan penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Baca berita berkaitan: Perhilitan siasat buaya sesat dalam tasik Taman Dengkil Jaya

Menurut laporan dari media tempatan, buaya yang dianggarkan sepanjang tujuh kaki itu ditemui di sebuah tasik di Taman Dengkil Jaya semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.29 malam.

Menurut beliau, seramai sembilan orang anggota berlainan pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya telah diarahkan untuk bergegas ke kawasan yang dilaporkan dan tiba di lokasi pada jam 8.43 malam.

“Pemeriksaan telah dilakukan dan mendapati seekor buaya bersaiz tujuh kaki berada dalam tasik dipercayai tersesat dari sungai berhampiran.

“Pihak bomba tidak menangkap buaya tersebut, sebaliknya memasang sawar-sawar dan menampal tanda amaran tentang kewujudan buaya dalam tasik itu serta menasihati penduduk setempat supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti di dalam atau berhampiran tasik.

“Operasi seterusnya diserahkan kepada Pejabat Perhilitan Hulu Langat untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin. – SB