[VIDEO] Berhenti kerja 3 tahun jaga ibu, tapi tak boleh jenguk jenazah

KASIH ibu hingga ke syurga, namun tidak semua anak sanggup berkorban tenaga dan masa ketika ibu atau ayah memerlukan anak-anak di sisi, ketika kudrat yang di kandung badan tidak lagi seperti dahulu.

Berbeza dengan seorang pemuda yang tular di laman sosial TikTok sejak beberapa hari lalu, apabila dia berkongsi beberapa video perjalanan terakhir ibunya yang dijaga sejak tiga tahun lalu, di platform berkenaan. Video itu mencecah tontotan antara 40 ribu sehingga lebih sejuta kali bagi setiap video yang dimuat naik.

Antara satu video yang mencecah 1.2 juta jumlah tontonan memaparkan perakam video, Mohd Kamal Momahad Saad, 31, yang sedang berada di sebalik pintu besi rumah, menangis teresak-esak ketika cuba untuk memaklumkan tentang pemergian ibunya kepada adik bongsu mereka yang berada di luar rumah.

“Kau ambil duit ini untuk uruskan jenazah. Nanti cakap kat pemandu van, minta dia lalu sekejab depan rumah. Aku nak tengok mak,”. Itu adalah antara butiran perbualan Mohd Kamal dengan adiknya yang menyebabkan netizen tersentuh hati dan sebak.

Ketika dihubungi SatuBerita, Mohd Kamal memaklumkan bahawa apa yang lebih memilukan, pada ketika itu dia terpaksa menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan positif Covid-19.

Mohd Kamal bersama-sama adik beradiknya yang lain sudah merancang untuk menyambut hari lahir arwah ibu mereka, Hazazih Abu Bajar, 69 namun siapa sangka insan tercinta mereka pergi buat selama-lamanya sehari sebelum tarikh menyambut hari lahirnya.

“Kami rancang, nak sambut hari lahir mak pada 30 Oktober, jadi saya nak buat kejutan kepada mak, nak bagi makan-makan. Dalam masa sama, mak ada seorang anak yang duduk di luar negara. Hampir 12 tahun tak dapat balik. Kali ini, dia boleh balik,jadi kami rancang nak buat kejutan,” katanya.

Mohd Kamal menambah, pada petang 29 Oktober, kelakuan ibunya disifatkan sangat manja daripada biasa apabila mengajaknya makan petang di tepi laut, bersiar-siar di sekeliling kampung malah meminta Mohd Kamal untuk memandikan dirinya.

Allahyarhamah Hazazih Abu Bajar, 69, ketika makan di tepi laut bersama Mohd Kamal pada petang 29 Oktober lalu. Foto-Ihsan Mohd Kamal

“Bila dia nak mandi, saya sediakan semuanya macam biasa, bila saya bagitahu dia semua dah tersedia, dia suruh saya mandikan dia. Dia manja sangat malam tu tapi saya tak fikir apa-apa jadi saya mandikan dia.

“Selepas mandi dan makan, dia macam hipoglisemia (kurang gula dalam badan) sekejap tapi dia okay balik selepas saya bagi air milo. Tapi selepas itu dia nampak lemah sangat. Jadi saya bawa dia pergi klinik, dan sebelum tu kami buat ujian Covid-19 alhamdulillah kedua-dua masih negatif,” katanya.

Tambahnya, ketika dirawat di klinik, keadaan ibunya bertambah baik dan sudah dibenarkan untuk pulang ke rumah, namun kandungan oksigen di dalam badan ibunya menurun dengan mendadak dan terpaksa akur untuk diwadkan.

Setelah pihak hospital melakukan pemeriksaan lanjut, kedua-dua buah pinggang ibunya telah didapati rosak, dan disahkan positif Covid-19 keesokan harinya. Mohd Kamal turut mendapati dirinya positif virus berkenaan dan terus menjalankan kuarantin kendiri.

Mohd Kamal bersama ibunya. Foto- Ihsan Mohd Kamal

“Dalam pukul 3 petang pada 1 November, doktor telefon dan bagitahu saya jantung mak saya tiba-tiba terhenti dan dimaklumkan mak sudah tak dapat diselamatkan walaupun mereka dah buat CPR.

“Saya hubungi adik beradik dan minta seorang daripada mereka pergi ke Unit Forensik untuk buat prosedur pengecaman jenazah dan saya minta adik datang ke rumah. Saya bagi duit untuk uruskan jenazah. Saya sedang kuarantin di rumah, tak dapat buat apa-apa,” katanya menahan sebak.

Kehilangan ibunya benar-benar memberi kesan kepada anak kelahiran Felda Kledang, Kota Tinggi, Johor ini apabila menangisi pemergian ibunya selama dua hari sehingga tidak makan dan mandi.

Namun, dia bersyukur apabila adik-beradik, sahabat dan jiran yang khuatir memikirkan keadannya yang sedang menjalani kuarantin seorang diri, kerap menjenguk untuk menenangkannya, walaupun berbual dari luar rumah sahaja.

Mohd Kamal yang sebelum ini bekerja di sektor perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor, memutuskan untuk berhenti kerja demi menjaga ibunya yang sedang menghidap penyakit kencing manis sejak tiga tahun lalu.

Dalam masa sama, Mohd Kamal turut menjaga bapanya yang menghidap penyakit strok selama setahun setengah sebelum bapanya meninggal dunia pada tahun 2019.

Bapa Mohd Kamal, Mohamad Saad Bin Sueb @ Soeb (tengah) meninggal dunia akibat penyakit strok pada tahun 2019. Foto- Ihsan Mohd Kamal

“Dalam situasi sekaran ini, meninggal pun tak kira tua atau muda. Dalam masa tiga tahun ini, saya nampak kalau boleh balik, baliklah. Kalau tak boleh, hubungi mereka. Hari-hari pun tak apa sebab bila mereka tiada, kita akan jadi terasa sangat ‘lost’ (kehilangan).

“Kalau kalian rasa boleh jaga kebajikan mak ayah, itu lagi bagus. Jangan risau tentang rezeki, rezeki memang akan ada cepat atau lambat,” ujarnya—SB.