Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Selangor luluskan had umur calon DUN kepada 18 tahun -

Selangor luluskan had umur calon DUN kepada 18 tahun

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2021, bagi menurunkan had umur seseorang warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan terhadap Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 itu diluluskan, selepas dibahas dan mendapat persetujuan daripada kesemua ADUN pada sesi persidangan petang tadi.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika mencadangkan Rang Undang-Undang berkenaan, berkata pindaan tersebut bagi mengikut Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603), untuk menurunkan had umur layak bertanding daripada 21 ke 18 tahun bagi calon Ahli Dewan Rakyat.

Amirudin berkata melalui Akta A1603 itu juga, Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan menurunkan had umur kelayakan calon bagi DUN daripada 21 ke 18 tahun.

Beliau berkata sekiranya kerajaan negeri tidak mengambil tindakan meminda Undang-Undang Tubuh bagi tujuan menguatkuasakan pindaan berkaitan had umur calon DUN tersebut, suatu undang-undang boleh digubal Parlimen bagi penguatkuasaan perkara itu.

“Berdasarkan peruntukan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, suatu undang-undang boleh digubal oleh Parlimen bagi menguatkuasakan peruntukan berhubung had umur ADUN tersebut, atau menghapuskan mana-mana peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh negeri yang tidak selaras dengan kehendak Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim berkata kesemua ADUN pada persidangan tersebut bersetuju secara dasar untuk meluluskan enakmen berkenaan, walaupun pelbagai pandangan dibahaskan.

“Ini satu tanda aras, lembaran baharu dalam DUN Selangor kerana berjaya meluluskan (Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2021 ) tersebut pada bacaan ketiga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menangguhkan DUN sehingga pukul 10 pagi esok.- BERNAMA