Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki maut selepas kereta terbabas, berpusing, langgar van KKM -

Lelaki maut selepas kereta terbabas, berpusing, langgar van KKM

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki meninggal dunia selepas kereta Proton Wira dipandunya hilang kawalan dan melanggar sebuah van Toyota Innova milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kilometer 58.0 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, hari ini.

Bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menerima panggilan orang awam memaklumkan kemalangan tersebut pukul 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, lelaki tersebut yang merupakan pekerja kilang memandu seorang diri manakala van KKM itu dinaiki enam petugas kesihatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun memandu dari kediamannya di perumahan tersusun Mawai Baru untuk ke tempat kerjanya di Claybrick iaitu kilang proses batu di Jalan Mawai.

“Semasa sampai di tempat kejadian kenderaannya hilang kawalan dan berpusing disebabkan terdapat batu-batu di atas jalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Akibat daripada itu, pada masa yang sama van itu datang dari arah Johor Bahru menghala ke Mersing gagal mengelak lalu bertembung dengan kereta mangsa. Mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir

Katanya, semua petugas kesihatan tersebut termasuk pemandunya yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun mengalami cedera ringan serta dirawat di Hospital Kota Tinggi.

Hussin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat banyak batu bertaburan atas jalan menyebabkan permukaannya tidak rata selain lokasi kemalangan itu merupakan jalan selekoh serta mempunyai dua lorong.

“Kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi memastikan punca kejadian sebenar,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rafi Mohd. Nor berkata, sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Semasa tiba kita dapati mangsa, Azhar Wakeo, 50, tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.

Mohd. Rafi berkata, mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir sebelum operasi tamat pada pukul 9.49 pagi. – SB