KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengkaji semula harga maksimum ayam RM9.30 sekilogram selepas ayam import memasuki pasaran.
Ketua Setiausa KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, harga ayam ditentukan keadaan pasaran dan lazimnya harga akan turun apabila penawaran ayam meningkat berikutan kemasukan ayam import.
Menurut beliau, KPDNHEP memantau keadaan pasaran selepas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membenarkan ayam sejuk beku diimport sehingga 10,000 tan atau 5.5 juta ekor sebulan, bagi tempoh bulan ini hingga Februari tahun depan.
“Harga maksimum itu bergantung pada harga ayam import dan kita lihat kesannya kepada penawaran, jika ada penurunan harga, itu berita baik untuk pengguna.
“Apabila ayam import sudah masuk, penawaran akan menjadi berlebihan dan kita akan kaji semula harga maksimum ayam RM9.30,” katanya selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, harga maksimum ayam standard ditetapkan RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung, kecuali Langkawi, berkuat kuasa Selasa depan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.