[VIDEO] Bekas pak guard tukar rumah kampung jadi banglo

JANGAN hanya dinilai dari luaran sahaja. Itu sahajalah ungkapan yang sesuai untuk sebuah rumah yang tular di laman TikTok sehingga mencecah lebih sejuta tontonan.

Siapa sangka rumah yang tular itu jika dilihat dari luar hanyalah sebuah rumah kayu yang kelihatan agak usang, namun mampu membuat orang ternganga apabila dibuka pintunya setelah melihat rekaan dalam yang tampak moden dan mewah.

Ketika dihubungi SatuBerita, pemilik rumah berkenaan yang juga seorang pereka dalaman, Muhammad Rafiee Mazlan, 28, berkata dirinya membuat keputusan untuk mengubah suai rumah kayu tersebut untuk menjadikannya sebagai bilik pameran kepada bisnesnya.

“Ia bermula ketika PKP 1.0. Pada masa itu saya merupakan seorang pereka luaran tetapi saya ingin tukar profesion saya untuk menjadi pereka dalaman. Tetapi pada ketika itu situasi kewangan dan juga Covid-19 menjadi penghalang untuk saya sewa bangunan untuk urusan bisnes saya.

“Jadi, pihak saya memutuskan untuk membeli rumah buruk dan mendapat idea untuk melakukan dekorasi dalaman untuk dijadikan sebagai satu bilik pameran kepada pelanggan saya datang dan berbincang tentang projek, serta sedikit sebanyak untuk buat mereka tertarik dalam mendapatkan khidmat saya,” katanya.

Keadaan asal rumah dibeli oleh Rafiee ketika proses pembersihan sebelum rekaan dalaman diubah suai ala-ala rumah banglo – Foto ihsan Rafiee Mazlan

Bercerita lebih lanjut, apa yang lebih memeranjatkan, anak kelahiran Terengganu ini mengakui sebelum menceburi bidang pereka luaran dan dalaman, dirinya merupakan seorang pengawal keselamatan di Hospital Kuala Terengganu.

“Pada awalnya, saya berkawan dengan orang yang menceburi bidang rekaan dalaman dan luaran. Ketika itu, saya nampak bidang itu boleh jadikan satu sumber pendapatan yang lebih besar dan untuk mengubah nasib saya.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja jadi pengawal empat tahun lalu, saya perlahan-lahan mula belajar bidang tersebut daripada kawan-kawan. Semuanya ilmu jalanan sahaja. Saya banyak belajar dengan tukang-tukang yang buat rumah dan sebagainya,” ujarnya.

Rafiee ketika bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Kuala Terengganu sebelum berkecimpung di dalam bidang pereka dalaman dan luaran sejak empat tahun lalu- Foto ihsan Rafiee Mazlan

Dalam pada itu, Rafiee dengan rendah diri mengakui bahawa tahap pendidikan dirinya ialah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bekerja sebagai pengawal keselamatan selama tiga tahun sebelum memutuskan untuk menceburi bidang terkini sejak empat tahun lalu.

Menurut Rafiee, rumah tersebut akan dikekalkan dengan konsep ‘luaran setinggan, dalaman banglo’ dengan keseluruhan idea rekaan adalah dari dirinya sendiri, serta menjelaskan bajet keseluruhan untuk mengubah suai rumah berkenaan mencecah sekitar RM 70,000.

“Sekarang untuk ruang tamu, boleh dikatakan sudah siap dalam 90%. Pada masa akan datang, saya akan ubah suai keseluruhan dalaman rumah untuk memberikan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan saya datang untuk tengok bilik pameran ini,” katanya.

Proses pengubahsuaian rekaan dalaman rumah- Foto ihsan Rafiee Mazlan

Tambahnya, rumah yang terletak di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu itu turut dijadikan bengkel bagi projek penghasilan kabinet dan almari yang turut diceburi olehnya dan proses ubah suai rumah tersebut sudah bermula sejak 10 bulan lalu.

Dalam pada itu, dirinya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang menawarkan bantuan kepada usahawan bumiputera dan memudahkan urusan untuk memohon modal projek bisnesnya.

“Saya dapat semangat daripada belanjawan negara yang telah dibawa oleh kerajaan tahun lalu. Saya nampak usaha kerajaan untuk meringankan beban usahawan bumiputera yang sangat bagus. Ia sangat memudahkan kami dalam segi permohonan mendapatkan modal projek.

“Contoh, untuk dapatkan modal sebanyak RM 500,000,ia hanya mengambil masa selama dua minggu sahaja untuk diluluskan. Untuk dapatkan kelulusan, kita hanya perlu bentangkan idea yang baik dan luar daripada kotak.

keadaan rekaan dalaman rumah kayu yang setelah proses pengubahsuaian selesai untuk tatapan pelanggan Rafiee- Foto ihsan Rafiee Mazlan

“Dari situ lah terhasilnya idea untuk membuat bilik pameran berkonsepkan ‘luaran setinggan, dalaman banglo ini,” ujarnya.–SB