Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Muhyiddin optimis PN jadi pilihan rakyat pada PRU15 -

Muhyiddin optimis PN jadi pilihan rakyat pada PRU15

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis gabungan berkenaan akan menjadi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Berucap ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-50 di Kuala Lumpur, beliau berkata, ini kerana PN menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat dan berintegriti selari dengan nilai dan aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

“Kerana itulah kita membentuk PN yang dianggotai oleh Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP).  Kita mahu menjadikan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik di peringkat nasional yang menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat, cekap, telus dan berintegriti,” katanya pada Sabtu.

Presiden Bersatu itu berkata, PN juga telah membuktikan gabungan itu mampu mentadbir negara dengan baik dengan mengamalkan dasar prihatin rakyat serta mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang dan pencapaian itu akan dipertahan dan persembahkan kepada rakyat untuk dinilai.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, sistem parti dominan di negara ini telah runtuh selepas PRU14, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi kerajaan yang memerintah di peringkat Persekutuan.
 
Katanya, ia menyaksikan Kerajaan Persekutuan pada masa ini dibentuk oleh PN, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata sebagai sebuah parti yang mendokong prinsip integriti, PN telah meletakkan asas yang jelas dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan mahu pun negeri.

“Dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada hari ini, tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa mereka adalah parti dominan yang boleh melakukan apa sahaja mengikut selera parti masing-masing tanpa mengambil kira pandangan parti-parti lain yang membentuk kerajaan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Mengenai peranan Gerakan dalam PN, Muhyiddin berkata, parti itu perlu bersama-sama memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang kuat dan disokong oleh majoriti rakyat.

“Inilah tugas dan cabaran besar bagi Gerakan sebagai sebuah parti anggota PN. Saya percaya tugas ini akan dapat digalas dengan baik oleh seluruh pimpinan dan ahli Gerakan yang berjuang dengan semangat satu hati untuk mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat dan negara,” katanya. – Bernama