RATUSAN ekor burung yang sedang terbang tiba-tiba jatuh dan kesemuanya didapati mati di satu laluan pejalan kaki dalam kejadian aneh di Bandar Ferrol, Sepanyol sekitar jam 9 pagi 26 November lalu.
Burung-burung berkenaan jatuh ke atas kereta-kereta serta orang ramai di sepanjang laluan tersebut di hadapan Hospital Ribera Juan Cardona.
Ketika kejadian itu berlaku, orang ramai menyangka sekawan burung itu berkemungkinan direnjat elektrik atau disebabkan oleh selesema burung, namun kedua-dua tanggapan tersebut telah disangkal oleh pihak berkuasa tempatan.

Media tempatan melaporkan sebanyak 127 ekor yang mati dalam kejadian itu serta dua ekor lagi yang terselamat telah dihantar ke Pusat Pemulihan Hidupan Liar Oleiros untuk mengkaji punca kejadian tersebut.
Laporan turut mengatakan burung-burung yang terselamat itu didapati berada dalam keadaan ‘mereput’ yang mana terdapat kesan cedera di bahagian sayap dan kaki sehingga menyebabkan mereka tidak mampu untuk terbang.
Bagi mengenal pasti samada kejadian tersebut adalah disebabkan oleh racun atau bahan kimia di kawasan sekitar, penyelidik tempatan telah mengambil sampel bagi menganalisis keadaan otak, jantung, paru-paru, trakea, buah pinggang, dan usus burung-burung berkenaan.

Bagaimanapun, sampel yang diambil masih lagi di dalam proses analisis dan sedang menunggu keputusan.
Kejadian sama turut berlaku di Rusia apabila ratusan ekor gagak ditemui mati di sebauah perkampungan Ust-Tarka di daerah Novosibirsk, September lalu.
Ketua pakar perubatan veterinar Ust-Tarksk, Surgei Kuzlyakin berkata, kejadian tersebut tidak berlaku kepada spesis haiwan lain, sebaliknya ia hanya berlaku kepada spesis burung gagak itu sahaja.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.