50,000 individu bekerja sendiri dalam sektor pertanian disasar carum Perkeso

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan seramai 50,000 individu yang bekerja sendiri dalam sektor pertanian, mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) secara berperingkat mulai tahun hadapan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata pelbagai usaha sedang dilakukan pihaknya, untuk menarik lebih ramai golongan itu mencarum skim tersebut berikutan angka golongan itu sebagai pencarum masih rendah setakat ini, iaitu merekodkan seramai 1,435 orang di seluruh negara.

“Jumlah 1,435 orang tersebut daripada jumlah keseluruhan 337,443 individu bekerja sendiri, di semua sektor yang mencarum dengan Perkeso sehingga 12 November.

“…ia terlalu rendah dan saya menyarankan semua petani, nelayan, dan penoreh getah, dapat mencarum dengan SKSPS yang memberi banyak faedah, jika terdedah kepada risiko dan bahaya ketika bekerja,” katanya pada pemberita selepas program bantuan pasca banjir Perkeso di bawah Parlimen Pendang di Pendang pada Sabtu.

Awang berkata, pihaknya giat melaksanakan promosi dari kampung ke kampung, dalam usaha memberikan kesedaran mengenai faedah caruman Perkeso itu.

“Faedahnya dapat memberi perlindungan termasuklah anak, isteri dan orang tanggungan, jika dibandingkan bayaran yang sangat minimum dibayar pencarum.

“Antara faedah yang ada iaitu perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, faedah pengurusan mayat, faedah pendidikan serta kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga menawarkan subsidi sebanyak 70 peratus daripada jumlah caruman yang dibayar oleh pencarum dalam setahun, untuk meringankan beban pencarum sekali gus perlu diambil peluang oleh mereka untuk mencarum dengan Perkeso itu.

Katanya terdapat empat pilihan caruman tahunan iaitu serendah RM157.20; RM232.80; RM442.80; atau RM592.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun, di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta789). – Bernama