Tanah runtuh: Pemandu lori, kenderaan MPV disahkan maut

DUA lelaki disahkan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di laluan FT 185, Km 27.10 Jalan Simpang Pulau-Blue Valley di Ipoh pada petang Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa yang terkorban ialah pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, manakala seorang lagi adalah pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.

Katanya, mayat terakhir iaitu Muhammad Hafiz yang terperangkap dalam kenderaannya dibawa keluar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 10.55 malam.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk diuruskan.

Mior Faridalathrash berkata, pemandu lori sayur itu sedang dalam perjalanan ke Simpang Pulai dari Cameron Highlands manakala pemandu MPV terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Pulau Pinang.

“Tiada penumpang lain di dalam lori dan MPV yang terperangkap dalam runtuhan itu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian .

Terdahulu, pasukan penyelamat berjaya mengesan kepala lori dan berusaha menarik pintu lori itu serta melakukan kerja mengangkat timbunan tanah menggunakan jengkaut selain menggunakan dron bagi melihat pergerakan tanah dari pandangan atas.

OPERASI SAR akan diteruskan sehingga kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari tempat kejadian. – Foto ihsan JBPM PERAK

JBPM Perak menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.44 tengah hari dan tiga kenderaan didapati tertimbus dalam runtuhan tanah berkenaan termasuk sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti jenisnya.

Mior Faridalathrash berkata, orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif di Jalan Persekutuan FT059 Tapah-Ringlet yang dibuka sepenuhnya untuk semua kenderaan bermula pukul 5 petang tadi untuk melakukan perjalanan ke Cameron Highlands.

Tinjauan Bernama mendapati ahli keluarga mangsa terlibat turut tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 7.30 malam walaupun dalam keadaan hujan renyai.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata hujan yang berterusan dipercayai menyebabkan berlaku hakisan tanah di kawasan cerun potong di laluan berkenaan.

“Runtuhan tanah berlaku sepanjang 100 meter dan laluan utama ke Cameron Highlands itu tidak selamat untuk semua jenis kenderaan dan masih dikawal ketat oleh pihak konsesi.

“Bagaimanapun, punca tanah runtuh masih dalam siasatan dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dan pihak konsesi jalan persekutuan,” katanya. – Bernama