
GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akan menampilkan 24 muka baharu untuk menjadi calon mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang bakal berlangsung pada 18 Disember.
Perkara itu diumumkan Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg tanpa memberikan butiran lanjut.
Bercakap kepada media selepas majlis penyerahan watikah kepada calon GPS yang dilakukan secara tertutup di sini, Abang Johari berkata, calon-calon baru ini yang turut terdiri dalam kalangan golongan berumur antara 30 dan 40 tahun akan didedahkan dengan politik ala Sarawak.
“Politik Sarawak adalah politik yang memperjuangkan masyarakat yang berbilang kaum, berbilang agama, berbilang budaya dan juga keturunan. Landskap politik Sarawak hanya orang Sarawak yang tahu,” katanya.
“Inilah GPS. Apabila kita bercakap kita melakukannya. Sebenarnya semua profesion ada pada calon yang kita pilih. Ini akan menjamin kesinambungan (pembangunan) untuk Sarawak,” katanya.
Menurutnya, kalangan muka baru ini memiliki latar belakang profesion yang pelbagai yang membolehkan mereka menjalankan tanggung jawab mereka untuk berkhidmat kepada rakyat dengan cara mereka tersendiri.
GPS merupakan gabungan parti-parti yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Abang Johari turut mengumumkan, manifesto parti bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 8 Disember.
“Untuk manifesto GPS kami akan mengumumkannya pada 8 Disember,” katanya ringkas.
Abang Johari berkata, gabungan itu bakal membawa tema ‘Sarawak First’ dalam manifesto yang bakal diumumkan nanti.
Beliau berkata, tema itu antara lain berteraskan ekonomi digital dan ekonomi mampan.
“GPS meletakkan tema kita iaitu ‘Sarawak First’ dan juga wawasan ekonomi yang berlandaskan ekonomi baharu iaitu digital ekonomi dan (memberi fokus) kepada kemampanan dan alam sekitar,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak pada 6 Disember, pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian pada 18 Disember. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.