Oleh RIZQI ZABIDI
SATU kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Dah Pelangi ‘muncul’ di Kedah hari ini setelah 24 pelajar di Maktab Mahmud Sik, disahkan positif.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, kesemua individu yang positif itu merupakan pelajar lelaki di sekolah berasrama tersebut.
Katanya, kluster itu dikesan setelah beberapa pelajar didapati mengalami gejala bermua 28 November lalu.
“Pihak pengurusan kemudiannya melakukan saringan bersasar kepada pelajar dan kes-kes mula didaftarkan positif pada hari ini.
“Punca penularan masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Hayati menambah, setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 38 individu telah disaring dalam kluster tersebut.
“Daripada jumlah itu, hanya 14 dilaporkan negatif dan selebihnya positif Covid-19,” katanya.
Menurutnya, PKD Sik telah menjalankan isolasi dan pemerhatian terhadap mereka yang positif manakala kesemua kontak rapat pula diarahkan menjalani kuarantin.
“Selain itu, notis penutupan sekolah juga telah diberikan bermula 3 Disember 2021 hingga kerja-kerja membasmi kuman dan pencegahan penularan selesai dijalankan,” katanya.
Mohd. Hayati menambah, orang ramai terutamanya pihak pengurusan sekolah di seluruh negeri diseru untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan kerajaan selain mengamalakan norma baharu dalma kehidupan.
“Semua pihak diminta patuh kepada penjarakan fizikal sepanjang masa dan elakkan daripada bersembang dalam jarak dekat.
“Hindari kawasan sesak dan ruang sempit atau tertutup. Dalam masa sama, pastikan terdapat pengudaraan baik di kawasan pembelajaran dan asrama,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.