JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan 11 tempat pembiakan nyamuk Culex Tritaenioryhncus dan Culex Sitiens di daerah Kota Setar yang berpotensi menyebarkan virus Japanese Encephalitis (JE).
Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata tempat pembiakan nyamuk berkenaan dikesan menerusi kajian entomologi oleh JKN Kedah yang juga antara aktiviti kawalan wabak dilaksanakan bermula 25 November hingga Khamis.
“Sehingga 2 Disember 2021 iaitu hari kelapan wabak, bilangan kes JE yang dilaporkan di lokaliti wabak kekal dua kes, kedua-duanya telah meninggal dunia.
“Pengesanan kes secara aktif (ACD) telah dijalankan di sekitar kawasan terlibat. Sebanyak 674 (23 peratus) daripada 2,926 orang penduduk di kedua-dua lokaliti telah disaring untuk gejala penyakit JE dan didapati tiada penduduk bergejala,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Alor Setar pada Jumaat.
Beliau berkata, sebanyak 291 (70.6 peratus) daripada premis dalam 400 meter radius dari rumah pesakit telah diperiksa yang mana 14 bekas pembiakan nyamuk telah ditemui dan sebanyak 672ml Abate 500E BTI digunakan untuk larvasiding.
Katanya, semburan ruang termal juga telah dilakukan pada 25 dan 26 Nov meliputi 412 premis dan semburan ruang ultra low volume (ULV) pada 25 dan 27 November meliputi 912 premis.
Dr. Othman berkata, pihaknya mendapati tiada ladang penternakan khinzir di sekitar lokaliti wabak dan tinjauan menggunakan dron di sepanjang sungai berdekatan juga tidak menemukan sebarang lokasi berisiko kecuali kehadiran burung hijrah di kawasan bendang.
Bagi mencegah penularan wabak itu, beliau menyeru seluruh masyarakat di sekitar Kota Setar melakukan langkah-langkah pencegahan termasuk mengelakkan diri daripada gigitan nyamuk dan membuat semburan aerosol di dalam rumah.
“Membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman dan premis masing-masing serta mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit kepala dan muntah,” katanya.
Ahad lepas, JKN Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan mengenai dua kes JE yang dikesan di daerah Kota Setar masing-masing pada 18 dan 25 Nov dan mengisytiharkan penyakit itu sebagai wabak di daerah tersebut selepas kes kedua dikesan. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.