Calon SPM Seri Puteri dipindahkan ke IAB

SERAMAI 150 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki (IAB) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, kesemua mereka adalah kontak rapat kes positif Covid-19 di sekolah tersebut. 

Jelas Dr. Radzi, para pelajar berkenaan akan dipantau secara dekat oleh pasukan perubatan dari masa ke masa sepanjang berada di situ.

“Mereka ditempatkan dua orang setiap bilik yang selesa bagi membolehkan murid yang menjalani kuarantin berada dalam keadaan kondusif.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak bagi memastikan keselamatan murid ini diambil berat dengan segala pemantauan dibuat dengan baik,” katanya di media sosial pada malam Khamis.

Sehingga 3 petang tadi, seramai 139 pelajar, 15 guru dan 10 petugas sekolah itu positif COVID-19.

Mereka yang positif dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Pada masa sama, Radzi berkata, pelajar lain masih berada di asrama Sekolah Seri Puteri dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kepada ibu bapa. – SB