RAKYAT Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan satu kejadian tanah runtuh di Laluan FT 185, KM 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Ipoh pada petang Khamis.
Kejadian tanah runtuh berkenaan telah mengorbankan nyawa dua orang lelaki yang tertimbus di dalam runtuhan itu bersama-sama kenderaan mereka.
Seorang daripada mangsa adalah pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang sedang dalam perjalanan ke Simpang Pulai dari Cameron Highlands, manakala seorang lagi ialah pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Mohd Zolkafly Harun ketika mengulas perkara itu menegaskan, runtuhan berlaku akibat hujan berterusan sehingga berlaku hakisan tanah di kawasan cerun potong di laluan berkenaan.
Kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku di sekitar jalan menuju Cameron Highlands dan sekitar daerah itu dalam tempoh tiga bulan ini. Pada 23 November lalu, sebanyak sembilan kejadian tanah runtuh berlaku pada masa yang sama iaitu tiga di Brinchang, tiga di Tanah Rata dan tiga lagi di Ringlet.
Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, empat lelaki nyaris maut apabila tersepit di dalam kereta yang dinaiki mereka setelah dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian di Tanah Rata.
Manakala pada 19 September lalu, laluan Persekutuan dari Simpang Pulai, Perak ke Blue Valley, Cameron Highlands ditutup sepenuhnya kepada semua trafik berikutan kejadian jalan runtuh sepanjang kira-kira 30 meter di Kilometer 43.95 laluan berkenaan ekoran hujan lebat berterusan
16 September lalu, seorang warga emas berbangsa India, K Vijaya, 57 tahun maut setelah rumahnya tertimbus di dalam satu kejadian tanah runtuh di Sungai Palas, Brinchang. —SB.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.