Kes dadah, Ismahalil kena reman di Penjara Sungai Buloh

Teka-teki akhirnya terjawab apabila peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar mengesahkan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh berkaitan kes memiliki dadah.

Dia mendedahkan perkara tersebut melalui satu hantaran Facebook dan mengakui telah bertemu dengan anak guamnya itu dan meminta agar semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes berkenaan.

“Pada petang semalam, saya bersama Adi Zulkarnain telah ke Penjara Sungai Buloh bertemu dengan anakguam kami, DJ Ismahalil Hamzah yang kini ditahan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang mana jika disabitkan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

“Bagi yang bertanya, beliau dituduh dan belum lagi dibicarakan mahupun disabitkan lagi untuk pertuduhan yang dikenakan. Mohon pihak-pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi lagi selepas ini” katanya.

Ismahalil Hamzah

Tambahnya, kes berkenaan akan disebut di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 15 Disember ini dan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk proses perbicaraan.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahiril turut memuat naik sekeping pesanan tulisan tangan daripada Ismahalil buat semua.

“Terima kasih kepada semua sahabat yang saya ada. Dan saya sihat adanya di Sungai Buloh Ini. Demi Allah, saya tidak seperti berita negatif yang terfitnah kepada saya.

“Maafkan saya sebab tidak ke udara lagi. Sabarlah semua sahabat. Berpisah adalah untuk bertemu lagi. Terima kasih kerana menyokong saya,” tulisnya.

Sepucuk surat pesanan dari Ismahalil buat semua yang dimuat naik oleh Ahmad Zahiril dalam satu hantaran di Facebook

Pada September lalu, timbul desas-desus mengenai seorang penyampai radio ditahan pihak polis selepas didapati memiliki dadah jenis ganja.

Menurut laporan pihak polis, suspek ditahan di kediamannya di ibu kota kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 447.44 gram yang telah diasing-asingkan kepada 22 paket plastik.