Hishammuddin minta waris mangsa buli hubunginya

MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta individu yang mendakwa adiknya telah dibuli dan dipukul senior di sebuah kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk tampil memberi maklumat.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, beliau turut memuat naik satu luahan individu itu yang meminta bantuan di media sosial kerana bimbang keselamatan adiknya.

“Mohon individu di sebalik mesej ini untuk DM butiran lebih terperinci terus kepada saya atau hubungi pejabat saya segera.

“Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan,” katanya.

Tambahnya, Timbalan Menterinya juga sudah diarah untuk meneliti perkara itu secara peribadi.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku sekiranya aduan individu terbabit didapati sahih.” ujarnya.

Menurut perkongsian individu berkenaan yang dipercayai dimuat naik di Twitter mendakwa adiknya bukan saja dipukul dan dibuli, malah wang simpanannya juga habis diberikan dan dibelanjakan untuk sekumpulan senior.

Individu itu juga mendakwa sudah menghubungi polis meminta bantuan namun pihak berkuasa terbabit menasihati supaya membuat aduan kepada pihak kem.

Namun, dia bimbang nasib adiknya akan menjadi seperti Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia akibat dicederakan enam penuntut lain. -SB