BUAT julung-julung kalinya, hadiah berupa dana RM500,000 akan diberikan kepada pemenang kategori Filem Terbaik sempena Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung 10 Disember hadapan.
Jika tahun-tahun sebelum ini hanya trofi dan pengiktirafan sahaja diberikan, kali ini pemain industri seni boleh menarik nafas lega apabila insentif tersebut bakal memberikan galakan kepada mereka untuk menghasilkan karya bermutu pada masa hadapan.
Menerusi FFM31, sebanyak 55 filem dipertandingkan dengan 32 filem daripadanya berbahasa Melayu, Mandarin (lapan), Tamil (11) dan lain-lain (empat).
Antara filem yang dicalonkan pada FFM31 termasuklah Sangkar, Tiada Tajuk, Motif, Upin Ipin- Keris Siamang Tunggal, Ratu Kala Jengking, Wira dan banyak lagi.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abd Hamid berkata, FFM kali ini mengangkat tema ‘Citra Sinema’.
“Tema kali ini berinspirasikan keunikan serta variasi cerita, identiti dan nilai tempatan dengan impak pembikinan dan penontonan sejagat merentas sempadan.
“Fokus FFM31 kali ini juga bukanlah sekadar perayaan industri, namun ia platform satu suara di antara kerajaan, karyawan filem dan rakyat bagi bersama-sama mendukung kepada kecemerlangan industri,” katanya dalam sidang media pada Rabu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim dan penggiat industri.

Pada malam kemuncak nanti, beberapa artis ternama seperti Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Liza Hanim dan Ella akan mengadakan persembahan.
Dalam pada itu, konsep penganjuran Malam Anugerah FFM31 buat julung-julung kalinya diadakan dalam konsep pembudayaan norma baharu dengan mengikut SOP dan garis panduan yang telah ditetapkan pihak kerajaan.
Selain itu, pemenang bagi setiap kategori bukan sahaja menerima trofi kemenangan, malah turut menerima hadiah berbentuk wang tunai.
Acara FFM31 akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan akan disiarkan secara langsung di TV2 pada pukul 9.00 malam.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.