Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ah Long upah RM500 simbah cat merah -

Ah Long upah RM500 simbah cat merah

POLIS mengesahkan tiga lelaki yang ditahan berhubung kes mengugut dan menyimbah cat merah di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor mendapat pekerjaan itu melalui laman sosial Facebook.

Mereka ditahan pada 23 November lalu bagi membantu siasatan berhubung kes ah long mengugut dan menyimbah cat merah di sebuah rumah di Taman Medan Baru, tiga hari sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek berusia 21 tahun itu ditahan di kawasan parkir sebuah kediaman di Cheras.

“Polis merampas empat buah telefon bimbit pelbagai jenama.

“Siasatan awal mendapati mereka mengaku terlibat dalam kes tersebut,” katanya melalui kenyataan media, semalam.

Katanya, suspek turut mendedahkan mereka mendapat pekerjaan tersebut melalui iklan di laman sosial Facebook.

“Setelah berhubung dengan seorang lelaki warganegara melalui aplikasi media sosial, suspek telah diarahkan menyimbah cat ke alamat yang diberikan.

“Mereka telah dibayar sebanyak RM500 selepas menghantar rakaman video mereka menyimbah cat tersebut kepada lelaki berkenaan,” katanya.

Sebelum itu, polis menerima satu laporan polis oleh seorang lelaki berusia 35 tahun mengenai kejadian rumah sewanya telah disimbah cat merah.

“Selain itu, terdapat satu nota yang ditinggalkan berbaur ugutan supaya membayar hutang jika tidak mahu rumahnya akan dibakar.

“Nota tersebut turut mengandungi nama dan nombor kad pengenalan seorang lelaki berusia 28 tahun,” katanya. Semua suspek itu ditahan reman selama tiga hari dan telah dilepaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan penyiasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – SB