Iqbal tuduh orang Malaysia kejam terhadap dirinya

SEJAK kisah cintanya bersama Datuk Seri Vida tidak menjadi, nama Iqbal Zulkefli memang naik mendadak bagaikan seorang selebriti popular.

Sempat menghasilkan lagu yang menggambarkan jiwanya dalam kesedihan, dia kini berada di Jakarta, Indonesia membawa diri bagi mengubat kedukaan.

Namun satu hantaran Instagram yang dibuat oleh usahawan lelaki ini yang menuduh orang Malaysia kejam pada dirinya begitu menarik perhatian umum.

“Kenapa banyak orang Malaysia kejam sama saya? Tidakkan ada sedikit belas kasihan? Di Indonesia saya aman,” luahnya melalui hantaran tersebut.

Persoalannya adalah benar rakyat Malaysia kejam terhadap dirinya? Adakah benar sambutan orang luar lebih baik berbanding di negara sendiri?

Iqbal yang membawa diri ke Indonesia sempat bertemu Rossa.

“Saya bersyukur jika ada sokongan kerana ketika itu saya perlukan semangat yang telah jatuh. Saya tidak pernah berada dalam situasi ini. Apa yang anda lihat hanya situasi luaran.

“Saya telah mengakui kesilapan sebelum ini. Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang tidak henti-henti memberikan semangat walaupun tahu itu bukan mudah,” tambahnya lagi.

Beberapa komen yang diterima melalui hantaran tersebut menarik perhatian. Ada yang menuduhnya sengaja mencari publisiti dan tak kurang juga yang percaya dia sedang mengalami tekanan perasaan.

“Kepada netizen atau rakyat Malaysia jangan ambil hati dengan kenyataan Iqbal. Saya yakin dia membuat kenyataan disebabkan tertekan dengan komen negatif bertubi-tubi terhadapnya,” kata Iris.

Manakala seorang lagi pengikut menganggap apa yang dilakukan oleh Iqbal seperti mengikut jejak langkah beberapa pengusaha kosmetik sebelum ini.

Mereka menggunakan isu tertekan dan dibenci untuk ke Indonesia seterusnya mencari peluang di sana.

“Serupa jalan cerita Sajat bawa diri keluar negara. Malaysia juga la jahat padahal awak sendiri yang dedahkan cerita supaya dikecam.

“Habis semua kisah peribadi di ceritakan. Aura negatif dan kesedihan tak berkesudahan,” komen seorang lagi pengikut.