Feri jenis ‘water bus’, ‘vehichle transporter’ di Pulau Pinang tahun depan

0
327

FERI baharu jenis ‘water bus’ dan ‘vehicle transporter’ bakal digunakan bagi operasi perkhidmatan feri Pulau Pinang bermula penghujung 2022 secara berperingkat, Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong berkata Penang Port Sdn Bhd kini dalam proses melaksanakan model perniagaan perkhidmatan feri yang baharu selaras pengambilalihan operasi perkhidmatan feri bermula 1 Januari lepas. 

“Selaras pengambilalihan semula oleh pihak Penang Port Sdn Bhd, feri-feri lama telah dihentikan operasi berikutan kondisi feri yang terlalu usang serta tidak lagi efektif dan selamat untuk terus beroperasi bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang.

“…pihak berkuasa pelabuhan iaitu Suruhanjaya Pelabuhan (Pulau Pinang) dan operator pelabuhan Penang Port Sdn Bhd telah merencana penaiktarafan fasiliti pelabuhan dan sistem perkhidmatan operasi feri Pulau Pinang,” katanya. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanyakan langkah akan diambil kerajaan Persekutuan mengenai penyelenggaraan dan pemulihan perkhidmatan feri Pulau Pinang.

Henry berkata sepanjang tempoh peralihan ini, operasi perkhidmatan feri Pulau Pinang menggunakan feri yang disewa Penang Port Sdn Bhd bagi membawa penumpang pejalan kaki dan penumpang dengan kenderaan beroda dua iaitu motosikal dan basikal serta memaklumkan penyelenggaraan feri ini dilaksanakan secara berjadual. 

“Dengan pengenalan perkhidmatan feri baharu yang bakal dilaksanakan, kerajaan Persekutuan akan memastikan operasi perkhidmatan feri Pulau Pinang kekal relevan dan memenuhi kehendak pengguna.

“Kerajaan Persekutuan juga memberi jaminan perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diteruskan tanpa sebarang halangan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here