Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Selepas kalah di Melaka, PKR pertimbang kembali guna logo sendiri -

Selepas kalah di Melaka, PKR pertimbang kembali guna logo sendiri

SELEPAS mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, PKR kembali mempertimbangkan penggunaan semula logo parti itu, menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, berkata Majlis Pimpinan Pusat PKR yang bermesyuarat semalam menyentuh berhubung keputusan PRN Melaka, termasuk penggunaan logo Pakatan Harapan (PH).

“Dari dapatan awal pimpinan, SOP (prosedur operasi standard) dikenakan ke atas cara berkempen bagi PRN Melaka telah menyukarkan proses pengenalan calon-calon baharu serta logo yang berbeza dari yang dibawa pada pilihan raya umum ke-14.

“Namun, ke hadapan PKR berpandangan bahawa wujud kewajaran logo PKR digunakan semula. Perkara ini akan dibincang dengan lebih lanjut pada mesyuarat PH yang akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Fahmi berkata, isu penggunaan logo calon bertanding sudah ditekankan sejak dari awal oleh pimpinan dan akar umbi PKR, sebelum PRN Melaka lagi.

“Namun, oleh kerana PKR memahami sikap sahabat-sahabat dalam PH pada ketika itu, maka kami membuat keputusan bersetuju dengan penggunaan logo tersebut,” katanya.

Pada PRN Melaka lalu, PKR tewas di semua 11 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Machap Jaya, Rembia, Kelebang, Paya Rumput, Asahan, Rim, Tanjung Bidara, Sungai Udang, Ayer Molek dan Sungai Rambai.

Pada PRU14 yang dijalankan pada 2018, logo PKR digunakan oleh semua komponen membentuk PH, membabitkan PKR, DAP, Amanah dan termasuk Bersatu.

Penggunaan logo PKR sebagai mewakili PH itu dikatakan menyumbang kepada kemenangan pakatan itu sehingga tumbangnya Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan pusat sejak lebih 60 tahun.